‘Ceramah MCA macam ceramah DAP, macam tak percaya’


(Sinar Harian) – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak percaya ceramah pilihan raya yang MCA dihadirinya berdekatan Econsave Pontian di sini malam ini dipenuhi masyarakat Cina setempat.

Menurutnya, senario kehadiran ramai pengundi Cina ke program ceramah Barisan Nasional (BN) seolah-olah seperti beliau menghadiri ceramah DAP sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, trend peningkatan kehadiran masyarakat Cina ke ceramah MCA merupakan satu petanda positif terhadap peluang calon parti itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng walaupun BN tidak boleh terlalu yakin.

“Saya macam tidak percaya ceramah malam ini ceramah MCA, sebab ramai macam ceramah DAP.

“Ini satu petanda positif, tetapi BN tidak boleh terlalu yakin…Kita kena terus bekerja dekati pengundi Cina,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Duku di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pihaknya turut mengakui kesilapan kerana tidak lagi menyokong perjuangan BN setelah parti itu tewas pada PRU14.

Menyifatkan sifat besar kepalanya sudah ‘dipicit-picit’ dan kembali kecil, beliau mengajak rakyat untuk kembali mengajar Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang sudah besar kepala selepas menjadi kerajaan.

“Saya akui dahulu ada buat kesilapan…tetapi kepala saya sudah kena picit-picit…kepala sudah kecil.

“Yang sudah besar kepala macam DAP, kita jatuhkan dia. Jadi saya hendak minta tolong sangat, jangan dengar suara DAP berkata sokongan kepada MCA bermakna sokong Melayu ekstrem.

“Selagi saya ada dalam UMNO, kita kekalkan semangat UMNO, MCA, MIC dalam BN…Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kali ini saya minta kita undi (Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng,” katanya.

Sinar Harian mendapati kelompok anjuran MCA dan BN terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengundi Cina.

Sekurang-kurangnya 1,000 penduduk Cina hadir dalam program ceramah MCA diadakan di sini malam ini.

Keadaan ini sekali gus memberi gambaran kemungkinan pengundi Cina kini beralih sokongan dan menjadikan PRK Parlimen Tanjung Piai medan mereka menyuarakan tidak puas hati terhadap Kerajaan PH.

Berbeza dengan ceramah kelompok dianjurkan PH di kawasan majoriti pengundi Cina seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas sambutan diberikan dilihat kurang memberangsangkan walapun dihadiri pemimpin utama PH termasuk DAP.

Jumlah pengundi Parlimen Tanjung Piai kini mempunyai seramai 52,986 pengundi berdaftar.

 



Comments
Loading...