Salahuddin nafi ucapannya rasis dan cauvinis


Salahuddin Ayub berkata Malaysia akan menjadi huru-hara jika BN kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

(FMT) – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk tampil memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan ucapan rasis dan cauvinis ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Setakat ini saya belum terima lagi apa-apa (arahan), saya serahkan kepada polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Salahuddin sekali lagi menegaskan ucapannya sebelum ini tidak rasis dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada polis.

“Dia (Umno) tuduh saya rasis, apa yang rasis, jadi saya menunggulah kalau ada apa-apa keterangan atau permintaan untuk saya beri keterangan, saya tidak ada masalah.

“Tapi apa yang diucapkan itu tidak langsung saya rasa ada unsur rasis dan seumpamanya,” katanya.

Semalam, polis dilaporkan akan memanggil Salahuddin untuk memberi keterangan jika perlu berhubung kenyataan rasis dan cauvinis ketika kempen PRK Tanjung Piai.

Ketua Polis Daerah Pontian, Mustafa Bakri Salleh berkata buat masa ini polis membuka kertas siasatan terhadap kenyataan Salahuddin dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

Salahuddin didakwa membuat kenyataan itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio di Kukup Laut beberapa hari lalu, di mana klip video didakwa ucapan itu menunjukkan beliau berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika BN kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

Susulan itu, Pemuda BN Johor membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya menggesa timbalan presiden Amanah itu disiasat.

 



Comments
Loading...