Pemuda PPBM Selangor gesa pemimpin DAP diberi ‘peringatan’


(FMT) – Pemuda PPBM Selangor menggesa Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu (gambar) diberi kata dua berikutan kenyataannya yang disifatkan cuba memecah belah Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Adhif Syan Abdullah berkata tindakan Liu membuat kenyataan mempersoalkan kedudukan PPBM dan Dr Mahathir Mohamad menimbulkan persengketaan dalam kalangan ahli serta menghasut menukar pentadbiran yang diwujudkan secara sah.

“Tindakan ini dilakukan walaupun kedua-dua, Anwar Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail telah meminta supaya desakan ini dihentikan segera dan Dr Mahathir diberi ruang secukupnya untuk mentadbir.

“Jika selepas kenyataan Anwar dan Wan Azizah pun Liu dan rakan-rakannya masih engkar, maka beliau hendaklah diberi kata dua oleh kepimpinan tertinggi PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin DAP itu dipetik portal berita tempatan mendakwa PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa PPBM.

Selain itu, beliau turut mendakwa Mahathir mengejar model Barisan Nasional (BN) yang mempunyai parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.

Malah, Liu mempersoalkan pendirian Mahathir yang menerima bekas ahli politik Umno sebagai ahli PPBM selain kegagalan menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar.

Adhif berkata kenyataan Liu bersifat peribadi, terpencil dan datang dari pemahamannya yang dangkal berkenaan kebertanggungjawaban bersama dalam pentadbiran.

Beliau berkata pemimpin itu harus sedar bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh PH adalah hasil daripada konsensus bersama empat parti gabungan di bawah Majlis Presiden PH.

“Hal sama juga benar bagi keputusan-keputusan peringkat Kabinet.

“Malah, semua pemimpin parti komponen dalam Majlis Presiden dan juga Kabinet mengakui Dr Mahathir sentiasa mendengar pandangan semua pihak dan melaksanakan keputusan berdasarkan suara majoriti,” katanya.

Adhif berkata jika benar kritikan Liu berkenaan isu-isu yang dibangkitkan, maka ia hendaklah turut dianggap kritikan atau kegagalan kepimpinan DAP.

Beliau berkata kenyataan Ronnie akan dilihat sebagai cuba memprovokasi parti PPBM dan mengisytiharkan perang terhadap ahlinya.

“PPBM Selangor mendapati pendapat Liu dan lain-lain sealiran dengannya seperti yang dikeluarkan oleh Syed Hussin dan Otai Reformis sebelum ini (yang mendesak Mahathir meletakan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar) adalah cubaan menimbulkan kekacauan.

“Liu bukan sahaja tidak membantu, beliau lebih berminat menjadi agen kekacauan membantu pula pembangkang mengisi modal politik mereka,” katanya.

 



Comments
Loading...