UM tidak boleh tarik ijazah pelajar begitu mudah, Hakam sanggah majlis profesor


Kumpulan hak asasi menolak cadangan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa Universiti Malaya (UM) berhak menarik balik atau menggantung ijazah seorang graduan yang membuat protes semasa majlis konvokesyennya dengan berkata, cadangan itu salah dari segi undang-undang.

(FMT) – Presiden Hakam Gurdial Singh Nijar berkata, senat universiti ditadbir di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang memperuntukkan pemakaian sebuah perlembagaan tertinggi dan ditauliahkan.

Gurdial, seorang peguam dan bekas pensyarah UM berkata, di bawah Seksyen 53 perlembagaan itu, lembaga pengarah boleh mengesyorkan penarikan balik ijazah yang diberikan.

“Tetapi kuasanya dihadkan,” katanya. “Pertama lembaga mesti berpandangan bahawa graduat berkenaan adalah bersalah kerana melakukan ‘perbuatan yang memalukan’.”

Label sedemikian hanya berlaku sekiranya pelajar terbabit memberikan maklumat palsu bagi mendapatkan ijazahnya, kata beliau.

Katanya, syor sedemikian juga perlu dibuat oleh tidak kurang daripada dua pertiga anggota lembaga dan dikemukakan kepada canselor, yang mesti memberikan peluang kepada pelajar terbabit untuk didengari sebelum mengambil apa-apa tindakan.

“Protes pelajar yang dianugerahi ijazah itu jelas tidak termasuk dalam salah laku yang menghendaki ijazahnya ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tindakan sewenang-wenang seperti dicadangkan oleh MPN berikutan pendiran serupa sebuah NGO bukan sahaja salah dari segi undang-undang, tetapi berlawanan dengan nilai kebebasan akademik dan etika sebuah masyarakat yang ditadbir berdasarkan undang-undang.”

Gurdial merujuk kenyataan presiden MPN Raduan Che Rose yang berkata, senat universiti mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan penganugerahan ijazah berdasarkan peraturan masing-masing institusi terbabit.

Beliau membuat komen tersebut selepas pertubuhan Penggerak Mahasiswa UM melancarkan petisyen di media sosial yang menggesa UM menarik balik diploma kejuruteraan awam yang diberikan kepada Wong Yan Ke.

Wong membawa sekeping plakad ke pentas semasa majlis konvokesyennya pada Isnin yang menggesa peletakan jawatan naib canselor UM Abdul Rahim Hashim.

Beliau memberitahu FMT bahawa protes terhadap Rahim dibuat kerana nama universiti berkenaan digunakan untuk tujuan perkauman dan politik berikutan penglibatan universiti itu dalam penganjuran Kongres Maruah Melayu bersama-sama tiga institusi pendidikan awam lain di Shah Alam baru-baru ini.

Berikutan kejadian itu, UM membuat laporan polis terhadap Wong atas alasan beliau tidak menghormati majlis dan mengganggu protokol acara.

Gurdial bagaimanapun berkata, terdapat cara lain untuk memupuk tingkah laku yang bersesuaian dan berhemah.

“Sikap hormat perlu dimenangi, bukan dipaksakan” katanya.



Comments
Loading...