‘Perkauman timbul kerana rakyat hilang percaya pada k’jaan’


(Malaysiakini) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari percaya bahawa isu perkauman yang semakin hangat di beberapa negara, termasuk Malaysia sebenarnya dilatari oleh satu isu yang lebih besar iaitu kehilangan kepercayaan terhadap kerajaan.

Katanya, beliau percaya, isu perkauman hanyalah menjadi “satu pelantar” kepada hilangnya kepercayaan dalam kalangan rakyat dalam banyak perkara, yang akhirnya mencetuskan suasana “gusar dan gundah gulana”.

“Saya percaya, soal kehilangan kepercayaan inilah yang melatari. Dan dari mana datangnya motivasi itu? Sudah pasti dalam pelbagai perkara dan bentuk yang kita tak jangkakan.

“(Dalam banyak hal) telah menimbulkan rasa ingin kesaksamaan, tetapi kesaksamaan itu tidak wujud, lalu dipersalahkan terhadap sistem, lalu yang menjadi mangsa pertama ialah institusi-institusi penting seperti kehakiman, kepolisian, dan keselamatan.

“Bila kehilangan kepercayaan itu wujud, maka hilanglah keyakinan, dan keyakinan yang hilanglah yang membentuk suasana hilang kedamaian, kacau bilau yang timbul hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Seminar Nasional Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian: Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai di Hotel Concorde Shah Alam, malam tadi.

Ucapannya itu hadir di tengah-tengah suasana PH berdepan dengan kritikan hebat daripada rakyat kerana dilihat bergelut untuk melunaskan keseluruhan janji dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Melayu perlu terbuka

Hal itu sering menjadi modal pembangkang untuk menghentam mereka, selain isu perkauman yang sering ditimbulkan, antaranya PH didakwa gagal menjaga kepentingan orang Melayu setelah berkuasa, menyebabkan kedudukan orang Melayu terancam.

Mengambil contoh situasi di AS, Amirudin menambah, apabila Barack Obama memenangi pilhan raya dan menjadi presiden kulit hitam pertama republik itu (pada 2009), orang ramai menjangkakan isu perkauman antara orang kulit hitam dan putih di sana akan turut selesai.

Namun, katanya, kehilangan kepercayaan dalam kalangan rakyat akhirnya membawa kepada suasana yang “melucukan dan menggerunkan” sehingga rakyat memihak Donald Trump dalam pilihan raya 2016 dan mengangkatnya sebagai presiden.

Trump sering dikritik atas pendekatan dan pandangannya yang dikatakan bersifat perkauman.

Justeru, Amirudin percaya, rakyat mengutamakan kerajaan yang boleh dipercayai untuk membuat kerja walaupun pemimpinnya bersifat perkauman.

Amiruddin turut memetik contoh Perdana Menteri India, Narendra Damodardas Modi yang menurutnya dilihat perkauman, tetapi terus menjadi pilihan rakyat, bukan kerana faktor perkauman, tetapi kejayaan menjalankan kerja dari segi ekonomi, kebersihan dan perumahan.

“Jokowi (Presiden Indonesia Joko Widodo) yang diserang dengan slogan kebencian agama dan perkauman dalam pilihan raya (Indonesia) yang lepas, masih kekal dengan majoriti yang tak disangkakan.

“Sekali lagi kita lihat dengan keupayaan beliau melunaskan apa yang beliau laksanakan, jalan raya, kapal terbang, MRT, program perumahan dan pembasmian kemiskinan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam malam tadi ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Ketua Eksekutif Institut Darul Ehsan, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar, dan beberapa pemimpin dan wakil rakyat lain.

Sementara itu, Anwar ketika menyampaikan Pidato Pembinaan Bangsa Malaysia semalam, meminta rakyat Malaysia khususnya orang Melayu untuk mengubah naratif berhubung kemiskinan agar lebih adil kepada semua rakyat miskin yang turut terdiri daripada kaum lain.

Katanya, orang Melayu perlu terbuka untuk menerima dasar yang memberikan kebaikan dan keadilan kepada semua rakyat Malaysia termasuk orang Melayu, kerana menurutnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) – yang sebelum ini dilaksana bagi membasmi kemiskinan – tidak berhasil.

“Bagi orang yang mendambakan dasar itu kekal kerana ia akan tolong orang Melayu, dia lupa, DEB, dari sudut membasmi kemiskinan, kalaupun kita kata tak gagal, tapi tidak berhasil.

“Dari segi kesenjangan golongan miskin dan kaya, lebih parah sekarang ketimbang 1971 (DEB diperkenalkan 1970). Maknanya, dengan pelaksanaan DEB, perbezaan antara Melayu miskin dan Melayu kaya lebih terus sekarang.

“Itupun kita kata, Melayu ini akan hanya hidup dengan DEB,” katanya dalam pidatonya.

DEB diperkenalkan pada 1970 untuk menggalakkan pertumbuhan dengan pengagihan saksama ke arah mencapai perpaduan kaum di negara ini, namun digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991.

Seminar semalam berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 malam, melibatkan pembentangan daripada pelbagai tokoh, sementara acara penutupnya malam tadi dihadiri lebih 700 penonton.

 



Comments
Loading...