Mungkin ramai lagi wakil rakyat terlibat LTTE – ISMA


(Malaysia Gazette) – Kerajaan perlu tegas dan menyiasat kemungkinan ramai lagi wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, penahanan dua ADUN DAP baru-baru ini sesuatu yang mengejutkan semua pihak sedangkan wakil rakyat terbabit dipilih melalui pilihan raya terlibat dalam kumpulan pengganas antarabangsa.

“Ini membuatkan kedudukan negara menjadi terancam kerana mereka yang ditahan ini adalah dalam kalangan pihak sedang memegang kuasa kerajaan.

“Apakah negara akan selamat jika ada pengganas menjawat jawatan penting dalam kerajaan, yang mana mereka juga membuat polisi dan dasar-dasar negara?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal Pengguna, G Saminathan ditahan dan digari di pejabatnya, Seri Negeri oleh pihak polis semalam bagi membantu siasatan.

Penahanan Saminathan selaku ADUN Gadek itu telah disahkan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Menerusi hantaran di Facebook Pergerakan Pemuda Bahagian Kota Melaka, Saminathan ditahan oleh Polis Anti Pengganas dari Bukit Aman kerana didapati terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran juga dipercayai telah ditahan oleh pihak berkuasa polis yang sama pagi semalam.

Dalam pada itu, Aminuddin mencadangkan agar sebelum layak jadi calon, kajian terperinci terhadap latar belakang calon perlu dibuat untuk mengelakkan mana-mana individu yang terlibat dengan kegiatan pengganas diangkat sebagai wakil rakyat mahupun apa-apa jawatan penting kerajaan.

“Mereka yang terbukti terlibat dengan kegiatan atau kumpulan pengganas perlu lepaskan jawatan.

“Parti yang terlibat juga mesti memecat mereka supaya parti tidak dikaitkan dengan pengganas.

“Semoga keamanan dapat terpelihara di negara ini. InsyaAllah,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...