Kerajaan mungkin perkenal cukai baru, kata PM


(Malaysiakini) – Kerajaan mungkin memperkenalkan beberapa cukai baru yang lebih cekap bagi meningkatkan hasil pendapatan negara, kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa cukai baru yang akan diperkenalkan tidak akan membebankan rakyat.

“Sistem percukaian dulu kita tak kenakan dengan cara tertib dan tersusun, banyak orang terlepas daripada membayar cukai, kita akan perkemaskan lagi.

“Juga kita mungkin terpaksa kenalkan cukai baru yang tidak terlalu membebankan rakyat,” katanya selepas majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (Masa).

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas inisiatif baru untuk meningkatkan hasil serta menambah baik pematuhan cukai, meningkatkan kecekapan cukai dan memperluas asas cukai yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Baru-baru ini terdapat cadangan daripada pakar ekonomi yang mahukan supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula.

Dua hari lalu, Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji untuk melaksanakan semula GST jika itu yang dikehendaki rakyat.

“Kalau rakyat merasakan ia lebih baik kita akan mengkajinya.

“(Berkenaan) GST ini, kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada (ia) lebih baik daripada SST (cukai jualan dan perkhidmatan),” katanya ketika ditanya berkenaan cadangan oleh Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) agar cukai GST dengan kadar tiga peratus dimasukkan dalam Belanjawan 2020.

Bagaimanapun Mahathir tidak menjangka sebarang kajian atau perubahan akan dibuat melalui belanjawan kali ini yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.

 



Comments
Loading...