PM tak maksudkan GST akan dilaksana terus, kata Saifuddin


(Bernama) – Kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung GST hari ini tidak bermaksud sistem percukaian itu akan terus dilaksanakan semula, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut laporan media yang dibacanya, Saifuddin menjelaskan apa yang dimaksudkan Mahathir ialah kerajaan hanya akan mengkaji keperluan untuk memperkenalkan semula sistem GST jika perkara itu merupakan kehendak rakyat.

“Kalau rakyat nak balik semula pada GST, kerajaan sedia kajilah. Bukan perdana menteri kata kerajaan akan laksanakan terus. Tak ada. Dia tidak sebut begitu. Jadi kita tamat di situ dari segi kenyataan PM,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir berhubung GST.

Dr Mahathir ketika ditemui media selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) hari ini dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula sistem GST sekiranya itu kemahuan rakyat.

Saifuddin yang ditemui pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Industri Katering 2020 di kementeriannya hari ini berkata: “Saya baca ulang kali. Dia (PM) kata, kalau itu menjadi kehendak atau pilihan rakyat kerajaan bersedia untuk kaji. Maknanya ayat itu berlapik.”

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dilaporkan menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

GST pada kadar enam peratus pernah dilaksanakan sejak 1 April 2015 namun dimansuhkan pada 1 Sept 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

 



Comments
Loading...