Pakar ekonomi sokong cadangan perkenal semula GST


(FMT) – Dua pakar ekonomi dan seorang bekas menteri menyokong cadangan sebuah badan pemikir supaya Putrajaya memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan sebelum ini menjelang pembentangan Belanjawan 2020 bulan ini.

Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dan Ramon Navaratnam dari Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) berkata, cukai pengguna itu lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang mula berkuat kuasa pada 1 Sept tahun lepas.

“Saya fikir lebih ramai ahli ekonomi dan penganalisis menyedari bahawa langkah memansuhkan GST bukanlah sesuatu yang baik dan menggantikannya dengan SST bukan jalan terbaik untuk mengisi vakum yang ditinggalkan oleh GST,” kata Ferlito kepada FMT.

Beliau berkata, rejim cukai GST lebih mudah dilaksanakan oleh perniagaan dan lebih mudah diurus oleh kerajaan.

GST juga memberi kesan lebih rendah ke atas harga kerana pihak yang berada dalam rantaian perbekalan boleh menuntut bayaran balik, katanya.

“Justeru saya percaya memperkenalkannya semula adalah idea yang baik. Kali ini saya cadangkan kerajaan melaksanakan GST berperingkat dari kosong peratus ke 10 peratus, bukannya kadar rata enam peratus,” katanya, dengan menambah ini bertujuan meringankan beban ke atas kumpulan berpendapatan rendah.

Ferlito berkata, barangan asas dan keperluan boleh berkadar kosong, sementara barangan dan perkhidmatan berkaitan pendidikan ditetapkan pada kadar tiga peratus, barangan biasa enam peratus dan barangan mewah 10 peratus.

Navaratnam yang mengetuai Pusat Kajian Dasar Asli berkata, idea untuk melaksanakan semula GST adalah wajar dari perspektif ekonomi, kewangan dan belanjawan.

“Bagaimanapun ia sukar dilaksanakan dari sudut pandang pragmatik dan politik,” katanya kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru sahaja beralih kepada sistem SST tahun lepas.

Beliau mencadangkan SST diubah suai supaya lebih menyerupai GST dan menjenamakannya semula, dengan menjadikan lebih banyak barangan dan perkhidmatan yang digunakan golongan miskin bebas cukai.

Semalam Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menggesa Putrajaya supaya memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah tiga peratus.

Pengerusinya Kamal Salih berkata, GST adalah lebih adil dan lebih baik daripada SST dari sudut kutipan hasil kerajaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini bahawa kerajaan bersedia menimbangkan cadangan itu “sekiranya rakyat mahukannya”.

Dalam pada itu, bekas timbalan menteri kewangan Ahmad Maslan mengalu-alukan cadangan tersebut dengan berkata, ia boleh membantu kerajaan mengurangkan pergantungan pada hasil minyak dan pinjaman asing.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, GST berkesan dalam menangani masalah “ekonomi gelap” dan dalam kes Malaysia, ia diterjemahkan dalam bentuk hasil lebih RM20 bilion kepada kerajaan.

“Ekonomi gelap” merujuk kepada barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan seiring dengan ekonomi formal, yang dibayar secara tunai dan tidak diisytiharkan untuk tujuan percukaian.

Ia termasuklah, antara lain, wang haram daripada kegiatan rasuah, perjudian haram, dadah dan penyeludupan.

Ahmad berkata, jika GST dilaksanakan semula dengan kadar tiga peratus, kerajaan masih boleh mengutip jumlah hasil sama seperti yang dikutip di bawah SST sekarang.

“Tetapi, ia dapat menghentikan ekonomi gelap, selain lebih berkesan dan telus berbanding SST. Dengan GST, pengguna tahu jumlah cukai yang mereka bayar.

“Dengan SST, cukai dibayar di peringkat pengeluar, tetapi tidak ada pihak yang menyerapnya. Jadi ia dipindahkan di sepanjang rantaian perbekalan dan akhirnya pengguna terpaksa membayar lebih banyak.”

Beliau juga berkata, pelabur asing lebih menyukai GST kerana ia lebih telus.

 



Comments
Loading...