“Negaraku bukan lagu kebangsaan kita,” kata Peter John Jaban dari S4S


(FMT) – Polis berkata, siasatan ke atas ahli Sarawak For Sarawakian (S4S) yang enggan berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan dalam sebuah majlis kutipan dana di Sarawak, selesai selepas mengambil keterangan sembilan individu termasuk seorang wanita.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, sembilan individu itu berusia 34 hingga 64 tahun.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada pejabat peguam negara dan pejabat pendakwaan negeri di Sarawak untuk arahan lanjut semalam,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan, jika sabit kesalahan.

Isnin lalu, S4S mempertahankan ahlinya yang enggan berdiri ketika Negaraku dimainkan dalam sebuah majlis kutipan dana minggu lalu sebagai tanda protes senyap untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Putrajaya yang gagal mengotakan janji terhadap Sarawak.

Jurucakap S4S, Peter John Jaban berkata, Negaraku “bukan lagu kebangsaan kita” dan ia meniru lagu “Mamula Moon” nyanyian kumpulan Hawaiian Serenaders pada 1940-an.

 



Comments
Loading...