Bukit Aman terima laporan ke atas Nga kes hina sultan


(TMI) – BUKIT Aman mengesahkan menerima aduan ke atas seorang ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming berhubung tuduhan menghina Sultan Selangor.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata siasatan ke atas kes tulisan di Facebook tersebut masih di peringkat awal.

“Ada laporan dibuat di Shah Alam semalam. Kita siasat dahulu, tengok macam mana. Biarlah kita lihat dari semua sudut dahulu. Saya tidak komen di peringkat ini,” katanya kepada pemberita.

Siasatan itu berhubung kenyataan di laman Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ dalam tulisan Cina berhubung isu penggunaan papan tanda jalan dwi-bahasa di Selangor.

Tulisan yang terbit pada awal minggu ini di laman tersebut menyeru kaum Cina menyuarakan bantahan ke atas “seorang Melayu”, dipercayai merujuk Sultan Selangor.

Ia dipercayai berhubung kemurkaan Sultan Selangor dengan tindakan pihak berkuasa tempatan di kawasan Adun DAP di Selangor yang memasang papan tanda jalan dalam tulisan Cina.

Sultan Sharafuddin Idris Shah pada masa itu turut menitahkan agar papan tanda jalan dengan tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan diganti dengan papan tanda bahasa Melayu sahaja.

Tulisan di laman Facebook didakwa milik Nga itu menyebut, “seorang Melayu” itu tidak akan tahu mengenai bantahan melainkan ia disuarakan secara berdepan

“Tanda jalan dwi-bahasa sesungguhnya telah menarik perhatian ketidakpuasan hati sekurang-kurangnya oleh seorang Melayu. Orang Melayu inilah yang mengarahkan kerajaan untuk menurunkan tanda jalan dwi-bahasa.

“Jika mana-mana orang Cina yang tidak berpuas hati, silakan bertentangan muka dengan orang Melayu ini bagi menunjukkan bantahan.

“Orang Cina marahkan kerajaan tak ada maknanya kerana orang Melayu ini tidak tahu yang ada tidak berpuas hati,” tulisan dalam bahasa Cina itu dipetik.

The Malaysian Insight difahamkan laporan tersebut dibuat oleh pengiring Sultan Selangor atas arahan baginda di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pagi ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak menyarankan kerajaan mengambil tindakan terhadap Nga kerana menghasut warga Cina untuk membenci Sultan Selangor melalui tulisan itu.

Pengerusi DAP Perak itu menafikan tuduhan itu dan mendakwa laman Facebook dengan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ dalam bahasa Cina itu tidak dikendalikan olehnya atau DAP.

Bagaimanapun, Najib kemudiannya menunjukkan hasil kajiannya yang menunjukkan laman Facebook tersebut sememangnya milik Nga sejak tahun 2009 lagi dengan menjejak versi suntingan laman tersebut.

 



Comments
Loading...