Ketika amal ‘politik luas’, Syed Husin tidak juga sertai PAS, kata Pemuda PAS


(FMT) – PAS menolak dakwaan pemimpin veteran PKR Syed Husin Ali kononnya parti itu kini mengamalkan perjuangan Islam sempit dan nasionalisme lemah tidak seperti yang diperjuangkan bekas presidennya Dr Burhanuddin al-Helmy.

Timbalan ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Syed Husin tidak layak menilai perjuangan PAS memandangkan pemimpin PKR itu tidak pernah menjadi ahli parti Islam itu.

“Ada orang berkata bahawa PAS sekarang amalkan Islam sempit.

“Dulu semasa PAS mengamalkan ‘Islam luas’, orang ini (Syed Ali) tidak juga jadi ahli PAS,” katanya kepada FMT.

Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas turut mengimbau kembali kemelut melibatkan Syed Husin pernah ditolak pencalonannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu oleh bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2004.

“Semasa Almarhum Nik Aziz masih hidup pada 2004, nama ‘orang itu’ ditolak daripada bertanding di Parlimen Kota Bharu walaupun atas nama PKR,”katanya yang juga merupakan bekas setiausaha akhbar Nik Aziz.

Beliau dipercayai merujuk kepada keputusan Nik Aziz menolak Syed Husin sebagai calon kerusi Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum ke-11.

Penolakan itu dibuat kerana Nik Aziz dikatakan tidak bersetuju dengan perjuangan berfahaman sosialis Syed Husin, walaupun pencalonan beliau, yang juga timbalan presiden PKR ketika itu, dicadangkan Anwar Ibrahim.

Semalam, Syed Husin berkata beliau mengagumi PAS yang diperjuangkan bekas presidennya Burhanuddin kerana parti Islam itu pada era beliau mempunyai sifat progresif.

Katanya, PAS pada zaman Burhanuddin mengiktiraf kedudukan sosial golongan masyarakat, agama dan kaum lain.

“Sekarang berbeza sama sekali, PAS sekarang sifat nasionalisnya kurang, sifat agamanya terlalu sempit,” kata beliau kepada pemberita di Universiti Malaya pada majlis memperingati 50 tahun kematian Burhanuddin.

Anak kelahiran Perak itu digambarkan oleh penyelidik sebagai seorang nasionalis radikal dan pemikir Islam.

Burhanuddin merupakan presiden PAS dari 1956 hingga 1969 menggantikan Dr Abbas Alias. Beliau meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 dan kedudukannya sebagai presiden parti digantikan oleh Mohd Asri Muda.

 



Comments
Loading...