Pengikut Syiah minta Suhakam bantu henti tekanan


(FMT) – Sekumpulan pengikut Syiah, termasuk yang ditahan dalam satu serbuan pihak berkuasa agama Johor pada 9 Sept, membawa kes mereka kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dengan mendakwa tekanan “individu berpengaruh” menyebabkan meningkatnya diskriminasi pihak berkuasa terhadap mereka.

FMT difahamkan kumpulan 13 orang itu menemui seorang pesuruhjaya Suhakam dan anggota kanan badan itu semalam dan antara lain bercakap tentang bagaimana pengikut Syiah dihalang daripada menghantar anak mereka ke sekolah atau mendaftarkan perkahwinan mereka.

Mereka juga memberitahu Suhakam bahawa ahli politik selain “individu berpengaruh” di Johor terlibat “menindas” komuniti tersebut.

“Masalah itu tidak terbatas kepada Jabatan Agama dan mufti,” jurucakap kumpulan itu memberitahu FMT dengan syarat identiti beliau tidak didedahkan.

“Tekanan ini merumitkan keadaan,” katanya.

Fahaman Syiah yang mempunyai ramai pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi merupakan mazhab kedua terbesar dalam Islam.

Bagaimanapun ajarannya dianggap menyeleweng oleh pihak berkuasa agama di Malaysia, yang sebelum ini kerap membuat serbuan ke atas acara keagamaan tertutup kumpulan itu.

Fatwa di kebanyakan negeri mengisytiharkan ajaran Syiah sebagai menyeleweng, sementara masjid di Selangor sejak sekian lama memasukkan doa mengutuk aliran itu dalam khutbah Jumaat.

Awal bulan ini pihak berkuasa agama di Selangor dan Johor membuat serbuan ke atas acara tertutup kumpulan itu yang menyaksikan pengikut Syiah menyambut peristiwa Asyura bagi mengingati ulang tahun kematian Hussein, cucu Nabi Muhammad dan dianggap tokoh utama mazhab Syiah.

Berpuluh-puluh pengikut Syiah, termasuk warga asing ditahan, insiden yang menurut Suhakam bercanggah dengan hak perlembagaan komuniti tersebut.

Dalam serbuan di Kempas, Johor, pengikut Syiah terbabit berkata, polis yang mengiringi pegawai Jabatan Agama Johor telah mengasari mereka.

Dalam beberapa laporan polis dibuat berikutan serbuan itu, seorang anggota polis didakwa mengacukan pistolnya ke arah seorang peserta acara tertutup itu.

Saksi memberitahu FMT, lebih 20 anggota polis turut serta dalam serbuan tersebut, termasuk beberapa orang anggota bertopeng.

Sebilangan anggota polis memanjat pagar untuk memecah masuk ke dalam rumah di mana kira-kira 50 pengikut Syiah, termasuk wanita dan kanak-kanak menyambut Asyura.

Polis Johor dilaporkan sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Pengikut Syiah yang menemui Suhakam semalam menggesa suruhanjaya berkenaan membantu menghentikan tekanan dan penindasan ke atas komuniti tersebut.

Mereka berkata, Suhakam akan membantu mengatur pertemuan antara kumpulan itu dengan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Suhakam juga diberitahu bahawa serbuan terbaru ke atas pengikut Syiah merupakan penerusan dasar kerajaan sebelum ini.

“Syiahfobia telah meresap ke dalam darah daging masyarakat Islam. Khutbah berbaur kebencian terhadap Syiah menambahkan lagi Syiahfobia,” katanya.

 



Comments
Loading...