Kegiatan Semburit membawa risiko yang tinggi


Sejak kebelakangan ini kita sering dengar perkataan “semburit” berikutan kes yang disebarkan dalam media sosial.

(FMT) – Dari sudut definisi, semburit merupakan sejenis aktiviti luar tabii yang dilakukan oleh sepasang lelaki.

Ia membabitkan tusukan alat kemaluan salah seorang pasangan ke dalam ruang dubur pasangan mereka.

Dalam kajian populasi, terma paling tepat yang digunakan untuk lelaki yang melakukan aktiviti semburit ini adalah MSM, iaitu “Men who have sex with men”.

Terma ini lebih tepat kerana ia membuka minda masyarakat bahawa mereka yang bersemburit tidak semestinya golongan “gay” sahaja.

Perlu kita tahu bahawa terdapat juga golongan yang gemar melakukan seks terhadap kedua-dua lelaki dan juga wanita (biseksual).

Anda juga perlu tahu bahawa seseorang yang melakukan semburit juga tidak semestinya mempunyai minat terhadap lelaki.

Populasi dalam penjara misalnya, banyak melakukan aktiviti bersemburit walaupun mereka berorientasi heteroseksual.

Namun sudah pasti ia mempunyai risiko tertentu pada kesihatan badan anda.

Golongan MSM merupakan populasi paling berisiko untuk menghidap jangkitan kelamin yang berbahaya.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), kumpulan ini mewakili 67% daripada keseluruhan kes HIV baru pada tahun 2016 di Amerika Syarikat.

Di Malaysia pula, mereka membentuk 46% daripada keseluruhan populasi penghidap penyakit HIV. Selain HIV, bersemburit juga mempunyai risiko paling tinggi untuk jangkitan kelamin yang lain seperti sifilis dan chlamydia.

Asasnya, lubang dubur manusia bukanlah bahagian badan yang dicipta untuk menerima tusukan oleh sesuatu objek khususnya yang dilakukan berulang kali.

Lapisan permukaan dinding lubang dubur adalah nipis dan cenderung untuk koyak atau luka.

Ia juga tidak mempunyai rembesan cecair semula jadi yang dikaitkan dengan keterangsangan ketika bersetubuh.

Untuk itu, tusukan zakar ketika bersetubuh ini akan menyebabkan berlakunya trauma (luka) pada pembukaan lubang dubur dan juga dinding dalaman lubang dubur.

Luka atau koyak pada tisu permukaan dubur menjadi titik masuk yang mudah untuk bakteria dan juga virus daripada air mani seseorang untuk masuk.

Kesimpulannya, tabiat seks melalui lubang dubur membawa risiko penyebaran penyakit jangkitan kelamin yang sangat tinggi akibat daripada kecenderungan untuk berlakunya kecederaan permukaan dalaman badan.

Bakteria dan virus yang berada dalam cecair badan seseorang dapat dipindah masuk ke badan orang lain ketika bersetubuh melalui titik-titik masuk ini.

Sekiranya anda pernah melakukan aktiviti semburit, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan ujian saringan dan, jika perlu, nasihat berkaitan dengan pilihan rawatan yang sesuai.

 



Comments
Loading...