HPU914: PAS, Umno sentiasa terima kaum lain


(Harakah) – PAS dan Umno sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran bersama kaum lain di dalam lanskap politik negara berpaksikan acuan yang dibentangkan Islam, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, tindakan itu boleh dibuktikan dengan kebersamaan PAS bersama ahli bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) serta parti dari pelbagai kaum didalam Gagasan Sejahera serta Umno yang terus menjalinkan hubungan dengan MCA dan MIC.

“Ini adalah titik persamaan di antara dua parti Melayu Islam yang boleh menerima siapa sahaja yang bersama konsep ini. Kita juga bersama menentang siapa sahaja yang mahu merosakkan negara ini yang tidak mahu mengikut acuan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan bersempena Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut menyeru rakyat pelbagai kaum dan etnik dari Sarawak dan Sabah agar sama-sama memelihara perpaduan yang sedia terjalin dan menolak sebarang pendekatan ekstrem yang boleh memecahkan penyatuan tersebut.

Berpegang kepada semangat Perlembagaan Persekutuan, beliau mewakili PAS dan agenda penyatuan ummah bersama-sama beriltizam untuk meningkatkan taraf hidup peribumi Sabah dan Sarawak serta menyeru semua pihak memperkukuhkan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dengan memperbaiki segala kelemahan sepanjang perlaksanaannya supaya menuju ke arah ymenguatkan Persekutuan dan merapatkan jurang perbezaan yang wujud selama ini.

“Marilah kita kekalkan sistem demokrasi dan menyuburkannya. Halang campur tangan asing terhadap perubahan negara kita. Biarlah kita sendiri yang membuat perubahan. Maka potongkan tangan-tangan yang melambai ‘makhluk asing’ untuk mengacau negara kita.

“Tanamkan sifat sayangkan bangsa sendiri dan selamatkan semua bangsa bersama Islam. Ini bukannya perkauman, kerana kalaulah kita ini bersifat perkauman (rasis) sudah lama bangsa lain tidak boleh hidup bersama kita.

“Teruskan perjalanan kita mencipta sejarah perpaduan bangsa bersama Islam dan perpaduan manusia bersama Islam yang tetap memimpin,” ujarnya.

 



Comments
Loading...