Badan penyelidik dakwa sokongan PAS di Selangor makin merosot


(FMT) – Sebuah badan penyelidikan di bawah kerajaan Selangor mendakwa sokongan terhadap PAS di Selangor semakin merosot berbanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Institut Darul Ehsan (IDE) berkata sokongan terhadap PAS menurun kepada 8% berbanding 15% sebelum ini.

“Penemuan ini adalah hasil survei terakhir IDE yang diadakan pada 12 hingga 14 Julai yang lalu.

“Selain survei yang dijalankan ini, IDE juga menjalankan beberapa siri penelitian lapangan sepanjang Ogos dan September ini bagi meneliti trend ini bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara,” kata Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir.

Khairul bagaimanapun berkata kemerosotan itu tidak bermakna pengundi membuat keputusan mengalihkan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan (PH) atau Umno.

Beliau berkata, kebanyakan pengundi di Selangor cenderung memerhati perkembangan semasa dalam menentukan sokongan politik masing-masing pada pilihan raya seterusnya.

“Kajian juga menunjukkan sokongan ke atas PH dan Barisan Nasional (BN) adalah stabil sepertimana yang diberikan oleh pengundi pada PRU yang lalu,” katanya.

Terdahulu, Khairul berkata berdasarkan kajian IDE sebelum PRU14 menunjukkan sokongan PAS di Selangor adalah 12% dan melonjak kepada 15% ketika PRU14.

Katanya, kemerosotan sokongan hampir 8% yang dialami oleh PAS dalam kajian terakhir yang dilakukan IDE mempunyai kaitan dengan sikap penyokong dan pengundi parti Islam itu.

“PAS kini hanya berjaya mengekalkan sokongan dalam kategori ahli-ahli tegar sedangkan sokongan mereka dalam kategori penyokong dan kategori pengundi PAS dalam PRU yang lalu mula menukar sikap terhadap parti tersebut.

“Wujud 3 kategori kecenderungan dan sokongan terhadap PAS. Mereka ini dikategorikan sebagai ahli PAS, penyokong PAS dan pengundi PAS,” katanya.

Khairul menjelaskan ahli PAS merujuk kepada mereka yang akan terus menerus menyokong parti tersebut dalam apa jua keadaan.

Manakala, penyokong PAS, katanya, ialah mereka yang bukan ahli PAS tetapi cenderung menyokong idealisme dan perjuangan parti tersebut.

“Ketiga ialah mereka bukan ahli PAS atau penyokong parti tersebut tetapi mereka mengundi PAS kerana sebab-sebab tersendiri atau tertarik dengan tawaran alternatif yang dikemukakan oleh parti tersebut,” katanya.

Beliau berkata data-data ini adalah sebahagian daripada dapatan berdasarkan kajian persepsi rakyat Selangor 2019 melibatkan seluruh kawasan 56 DUN dan 2,851 orang responden.

Katanya, responden adalah terdiri daripada pelbagai kaum melibatkan Melayu, Cina dan India serta terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan, tempat tinggal dan taraf pendidikan.

 



Comments
Loading...