Kajian kemiskinan PBB dibawa ke kaukus Parlimen, kata Anwar


(FMT) – Dapatan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyebut bahawa kadar kemiskinan negara dianggarkan pada 15%, bukan 0.4% seperti didakwa oleh kerajaan sudah dibawa ke Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen untuk diteliti.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang merupakan pengerusi kaukus berkenaan berkata, isu itu sudah dibawa ke kaukus tersebut 2 minggu lepas dan maklumat mengenai ulasan kajian itu akan dibentangkan kepada ahli Parlimen.

“Kita sudah bawa 2 minggu lalu kepada Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus dan kita putuskan bahawa kita akan maklumkan ulasan kajian ini kepada seluruh ahli Parlimen,” katanya sewaktu ditemui du Pusat Pameran Mines di sini, hari ini.

Sebelum ini, PBB mendakwa insiden kemiskinan adalah jauh lebih buruk daripada yang digambarkan kerajaan.

Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4% pada 2016 tidak realistik kerana menggunakan penanda aras yang rendah rendah.

Philip berkata, kadar kemiskinan sebenar Malaysia adalah kira-kira 15%. Putrajaya bagaimanapun tidak bersetuju dengan laporan pelapor khas PBB itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya akan mengambil tindakan berhubung laporan garis kemiskinan itu.

Anwar yang juga merupakan ahli Parlimen Port Dickson berkata, masih terlalu awal untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kajian kemiskinan ini seperti dicadangkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sebelum ini.

Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya kajian kemiskinan yang dikeluarkan PBB itu dikaji unit perancang ekonomi dan pakar ekonomi di institusi pengajian tinggi negara.

“Di peringkat ini, keputusan kita begitu. Terlalu awal. Berikan ruang kepada unit perancang ekonomi, pakar ekonomi, termasuk dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk beri input supaya semua ahli Parlimen dapat ikuti,” katanya.

Terdahulu, pemangku presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, rakyat tertipu dengan kejayaan sendiri dan institusi kerajaan pula terus melaksanakan dasar yang gagal setiap tahun.

 



Comments
Loading...