Pemimpin PKR ikrar lawan cadangan ganti skim pencen dengan kontrak


(FMT) – Seorang pemimpin PKR berikrar tidak akan berdiam diri sekiranya kerajaan menggantikan skim lantikan tetap dan berpencen dengan skim lantikan kontrak, langkah yang diputuskan untuk mengecilkan perkhidmatan awam dan mengurangkan bebanan pencen.

Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata menggantikan pengambilan pekerja secara tetap dengan kontrak merupakan “pengkhianatan” kepada kakitangan awam sebagai pelaksana aspirasi kerajaan.

“Pencen ini sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada jasa kakitangan awam yang telah mereka curahkan selama mereka berkhidmat,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dolah pada Rabu mengumumkan lantikan baru dalam perkhidmatan awam mulai 2020 mungkin tidak lagi dibuat bawah skim tetap dan berpencen dan sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak “yang ditambahbaik”.

Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018, yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Menurut Borhan, skim itu menawarkan gaji yang lebih menarik serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik, dan tertakluk bawah Akta Perkhidmatan Awam bagi melindungi kepentingan pekerja.

Lantikan mungkin tidak menikmati kelebihan pinjaman perumahan dan kenderaan, tetapi mungkin diberi elaun lebih tinggi. Skim itu juga memberi pilihan untuk keluar daripada perkhidmatan awam dengan mudah.

Abdullah bagaimanapun berkata cadangan yang pernah dicadangkan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional itu tidak patut ada dalam agenda kerajaan.

Beliau berkata seandainya cadangan itu dianggap sebagai langkah penjimatan belanja mengurus, ianya tindakan yang paling zalim.

“Saya akan pastikan orang yang bertanggungjawab perlu menjawab kepada pekerja di sektor awam,” katanya.

 



Comments
Loading...