Hakim izin tangguh hukuman penjara bekas isteri bos Naza World


(Malaysiakini) – Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini menangguhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap bekas isteri Pengerusi Eksekutif Naza World, Emilia Hanafi, kerana melanggar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan ketiga-tiga anaknya.

Peguam Emilia, Farhan Haziq Mohamed, memaklumkan permohonan penggantungan hukuman dibuat bagi membolehkan anak guamnya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

“Emilia dijatuhkan hukuman kerana menghina mahkamah, jadi kami akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu untuk membawanya ke mahkamah rayuan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, hakim Arif Mohamed Fouzi membenarkan permohonan itu dan menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Julai tahun lalu, Mahkamah Syariah membenarkan suami Emilia, SM Faisal SM Nasimuddin, mendapat hak lawatan ketiga-tiga anaknya, Fawwaz, Faiz dan Farhan.

Hak jagaan penuh diberikan kepada Emilia selepas tiga tahun proses turun naik mahkamah.

Bagaimanapun, Emilia melanggar perintah itu sebanyak dua kali pada tahun lalu menyebabkan Faizal memfailkan permohonan komital.

EMILIA HANAFI AFFIDAVIT

Menurut Farhan, Emilia melanggar perintah itu pada 6 dan 7 Okt tahun lalu kerana mereka menghadiri program keagamaan di Baling serta pada tarikh hari lahir Faizal.

Emilia melalui afidavit tunjuk sebab telah memaklumkan terlebih dahulu mengenai program yang akan dihadirinya dan meminta kebenaran Faizal untuk menggantikan pertemuan dengan anak mereka pada tarikh lain.

SM Faisal dan Emilia mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Bagaimanapun, pasangan itu bercerai pada Mac 2016.

SM Faisal merupakan anak sulung kepada pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Allahyarham SM Nasimuddin SM Amin.

 



Comments
Loading...