PPBM akui kerjasama PAS-Umno sukarkan PH tawan Kelantan


(FMT) – PPBM Kelantan mengakui kerjasama Umno- PAS menyukarkan lagi Pakatan Harapan (PH) merampas negeri itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Pengerusi PPBM negeri, Sazmi Miah mengambil contoh keputusan PRU14 di mana PH tidak berjaya memenangi walaupun 1 kerusi DUN dan Parlimen apabila berlakunya pertandingan 3 penjuru dengan PAS dan Umno.

“Pengabungan antara Umno dan PAS, jadi memang secara dasar akan memberi kekuatan kepada mereka, dulu kita lawan 3 penjuru pun kita kalah, ini mereka gabung pula.

“Walaupun kita dapat separuh sokongan orang Umno yang tidak suka kepada pengabungan tersebut dan mereka sokong PH, itupun kita tidak akan menang, mungkin lagi teruk (kalah),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya peluang PH merampas Kelantan susulan kerjasama PAS dan Umno pada PRU15 sambil memaklumkan kesukaran sama bukan sahaja di negeri itu, tetapi juga di Terengganu dan Pahang.

Sazmi menambah, penggabungan PAS dan Umno hanya wayang untuk mengaburi mata rakyat kerana 2 parti besar Melayu itu susah bersatu, sebaliknya mempunyai agenda tersembunyi semata-mata untuk merebut kuasa.

“Pengabungan ini adalah pura-pura, pembohongan, sebab mereka ini nak kuasa sahaja, nak perintah bukan atas dasar penyatuan Melayu ke apa, kalau nak bersatu kenapa tunggu selepas 60 tahun, kalah baru nak bersatu, dulu masa menang tak ada perpaduan, bila sudah kalah baru nak ada perpaduan PAS dan Umno,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sazmi berkata walaupun peluang menawan Kelantan sukar, PH akan berusaha mengurangkan jurang kekalahan.

“Gerak kerja kita memberi perkhidmatan kepada rakyat, kita nak tunjuk kepada rakyat bahawa kita mentadbir, mengurus keadaan negeri jauh lebih baik dari Umno buat dulu atau PAS di Kelantan.

“Inilah kita cuba dan sedang buat di peringkat PH Kelantan supaya rakyat sedar PH lebih baik, mungkin tahun pertama, tahun kedua ini tak nampak sangat, tahun 3 atau 4 mungkin boleh nampak,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Ketua Strategi PPBM, Rais Hussin bahawa PH akan hilang Putrajaya jika pilihan raya diadakan esok kerana kerajaan hari ini gagal menunaikan janji manifesto.

“Kalau hari ini PRU, saya pun boleh bersetuju dengan pandangan beliau (Rais), tetapi PRU mungkin 3 atau 4 tahun lagi, jadi kita masih ada masa untuk perbetul apa yang tidak betul sekarang ini,” katanya.

 



Comments
Loading...