2 ditahan kerana demo bantah khat


(FMT) – Seorang lelaki berketurunan India dan seorang lelaki berketurunan Cina ditahan polis susulan tunjuk perasaan membantah tulisan khat di Brickfields, Kuala Lumpur malam tadi.

Penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah kaligrafi walaupun polis petang tadi memberi amaran tindakan akan diambil kerana penganjur tidak memenuhi Akta Perhimpunan Aman (APA).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata lelaki India itu berusia 34 tahun manakala lelaki Cina itu berusia 67 ditahan kerana menyalahi Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 9(5) APA.

“Orang ramai dinasihatkan untuk memberikan kerjasama kepada polis dalam usaha mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara ini yang terdiri dari pelbagai kaum,” katanya dalam kenyataan.

Seksyen 105 KAJ membolehkan polis membuat tangkapan bagi mencegah kesalahan boleh tangkap.

Seksyen 9(5) APA pula menjadikan kegagalan penganjur memberi notis 10 hari kepada polis mengenai perhimpunan itu sebagai satu kesalahan, yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 jika disabitkan.

 



Comments
Loading...