Zakir Naik hilang hak bersuara kerana ucapan kebencian, kata penyokong Pakatan


(FMT) – Aktivis hak asasi manusia mempertahankan tindakan polis tidak membenarkan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik daripada memberikan ucapan di Perlis berikutan risiko ia menimbulkan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

Mereka juga percaya tindakan polis itu tidak bercanggah dengan hak kebebasan bersuara kerana hak itu terhapus apabila ia melibatkan ucapan kebencian.

Polis Perlis baru baru ini melarang Zakir daripada berucap pada satu forum awam kerana bimbang ia akan mencetuskan ketidaktenteraman.

Persuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph berkata, hak kebebasan bersuara Zakir Naik terbatal kerana ucapan beliau mendorong kepada kebencian.

“Kebanyakan pejuang hak asasi akan berkata bahawa kebebasan bersuara membolehkan anda berkata apa-apa sahaja, tetapi ia perlu dilindungi daripada perbuatan mengapi-apikan kebencian,” katanya.

“Dalam kes Zakir Naik, beliau telah secara teknikal membatalkan hak kebebasan bersuaranya sendiri berikutan kenyataan yang dibuat di Kelantan (tentang penganut agama Hindu di Malaysia).

“Ia perbuatan mengapi-apikan. Ini tidak bermakna Zakir hilang hak untuk bersuara, tetapi beliau perlu diingatkan dan diberitahu supaya tidak mengapi-apikan kebencian. Itu sama sekali tidak boleh,” katanya kepada FMT.

Jerald berkata, apabila ucapan seseorang membawa kepada perbuatan mengapi-apikan, maka masyarakat akan bertindak balas dengan meminta ia dihentikan.

“Tidak salah untuk menyebarkan agama anda atau berkata agama anda terbaik, tetapi apabila anda bercakap tentang agama lain atau merendahkannya, maka ia berbahaya.

“Selain itu, tidak semua orang boleh membalas hujahnya secara terbuka, melainkan ia merupakan perdebatan terbuka mengenai semua isu agama yang membolehkan khalayak menghentikannya dengan berkata ‘anda salah’,” kata beliau.

Anggota majlis eksekutif Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Ambiga Sreenevasan berkata, kebebasan bersuara adalah terbatal apabila kandungannya boleh memberi kesan ke atas keamanan mansyarakat awam.

“Kebebasan bersuara tidak meliputi hak untuk membuat ucapan kebencian atau membuat ucapan yang berpotensi menyebabkan pecah keamanan atau mendorong jenayah kebencian,” katanya.

Ambiga berkata, penasihat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai pencegahan genosid, Adama Dieng merumuskan bahaya ucapan kebencian, iaitu jenayah kebencian biasanya bermula dengan ucapan kebencian.

Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran berkata, hak kebebasan bersuara tidak dinafikan berikutan larangan ke atas Zakir untuk menyampaikan ceramah di Perlis kerana beliau menunjukkan kecenderungan membuat ucapan yang bersifat mengapi-apikan.

“Kebebasan bersuara tidak meliputi kebebasan untuk membuat kenyataan yang membawa kepada pecah keamanan atau pecah ketenteraman awam.

“Polis mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa Zakir akan membuat kenyataan sedemikian berikutan ucapan beliau di Kelantan, terutama sekali kerana beliau tidak menunjukkan kekesalan berhubung kata-kata perkauman provokatif yang terkandung dalam ucapan itu.

“Justeru, mereka (polis) mengambil tindakan tepat. Tidak timbul isu penafian hak kebebasan bersuara di sini,” katanya.

Polis Perlis sebelum ini memberitahu Zakir Naik bahawa beliau tidak dinasihatkan memberi ceramah di negeri itu kerana bimbang ia akan “menggugat keharmonian”.

Polis telah mengambil kenyataan beliau selepas lebih 100 laporan dibuat terhadapnya berikutan ucapan kontroversinya mengenai penganut agama Hindu dan orang Cina di Malaysia yang dianggap tidak wajar oleh 2 komuniti itu.

Zakir Naik dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 berhubung dakwaan pengubahan wang dan kegiatan ekstremisme melalui ucapan kebencian.

 



Comments
Loading...