Fitnah Zakir Naik: Pemuda PAS lapor polis atas 5 individu


(Harakah) – Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang telah membuat laporan polis terhadap lima individu kerana berikutan dakwaan berbentuk fitnah oleh mereka terhadap pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Individu dimaksudkan adalah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, V Murugeson dan bekas Duta Malaysia ke Argentina, Dennis J Ignatius serta Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy Palanisamy.

Juga Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy dan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony R Santiago yang disenaraikan bersama dalam laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, di sini petang semalam.

Laporan oleh Pemuda PAS Gua Musang ini telah dibuat oleh Naib Ketua Pemuda, Muhammad Ridzuan Ali bersama Pengarah Pilihan Raya, Abdul Razak Ab Halim serta semua Ahli Jawatankuasa yang hadir memberi sokongan.

“Kami yakin bahawa dakwaan-dakwaan berbentuk fitnah yang dilemparkan oleh individu-individu tersebut telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia terpedaya dan keliru terhadap intipati, maksud utama dan niat murni Dr Zakir Naik.

“Rakyat Malaysia telah dikelirukan oleh individu-individu tersebut yang mempunyai agenda politik tersendiri. Sedangkan Dr Zakir Naik menyebarkan dakwah Islam dan kecintaan terhadap agama serta perpaduan semasa ceramah beliau.

“Kesan penyebaran dakwaan-dakwaan berbentuk fitnah tersebut telah menyebabkan ketidakharmonian, ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Oleh itu, laporan yang telah dibuat ini minta supaya pihak polis menyiasat perkara ini di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. Provokasi dan fitnah perlu disekat segera,” ujar Ridzuan memaklumkan lima individu tersebut bertindak balas dari ceramah oleh Dr Zakir Naik di Kelantan baru-baru ini.

 



Comments
Loading...