Ramasamy: Saya sedia berdepan Zakir Naik di mahkamah


(FMT) – Pemimpin DAP P Ramasamy hari ini berkata, beliau mengalu-alukan laporan polis yang dibuat oleh Dr Zajir Naik terhadap dirinya dan 4 yang lain kerana didakwa memfitnah dan bersedia berdepan penceramah kontroversi itu di mahkamah.

Ramasamy, yang juga merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata, persengketaannya dengan Zakir tidak bersifat peribadi, sebaliknya “kerana kepentingan umum rakyat Malaysia yang mahukan keamanan dan keharmonian dalam sebuah negara yang menolak kebencian dan niat jahat”.

Semalam Zakir membuat laporan polis terhadap Ramasamy, Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran; ahli Parlimen Klang Charles Santiago; ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta, Dennis Ignatius dengan mendakwa mereka membuat kenyataan fitnah terhadap beliau.

Peguam Zakir, Akberdin Abdul Kader berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

Katanya, penyataan tuntutan telah disampaikan kepada Kula, dan penyataan sama akan disampaikan kepada yang lain minggu depan.

Dalam kenyataan hari ini, Ramasamy berkata, Zakir membuat laporan itu kerana mendakwa mereka salah tafsir ucapannya di Kota Bharu pada 8 Ogos.

“Dalam laporan itu, Zakir berkata, beliau disalah petik bagi memberi gambaran bahawa beliau memfitnah masyarakat India sehingga ke takat mempersoalkan kesetiaan mereka.

“Saya alu-alukan laporan polis terhadap saya dan yang lain. Saya tidak sabar menunggu notis yang mengancam untuk menyaman saya kerana memfitnah,” katanya, selain menambah bahawa beliau bersedia ke mahkamah.

“Zakir Naik, sila saman saya,” katanya.

Semalam Santiago juga berkata, Zakir berhak untuk membuat laporan polis terhadap beliau dan berjanji akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Saya akan buktikan bahawa saya tidak salah petik Dr Zakir Naik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan, semalam, Zakir mengambil masa 5 jam untuk memberi kenyataan kepada polis di Bukit Aman, dipercayai berkaitan ucapannya di Kota Bharu.

Beliau tiba di ibu pejabat polis di Kuala Lumpur pada 3 ptg dan dilihat keluar pada 8.15 mlm.

Terdahulu Kementerian Dalam Negeri berkata, polis memanggil Zakir, yang berdepan lebih 100 laporan polis, dan 2 yang lain berkaitan ucapannya di Kota Bharu.

 



Comments
Loading...