Lynas dapat kelulusan bina kemudahan lupus sisa radioaktif di Pahang


(FMT) – Lynas mendapat kelulusan bertulis daripada kerajaan Pahang untuk membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) di sebuah tapak di negeri itu bagi sisa Water Leached Purification (WLP) yang dihasilkan loji nadir buminya di Gebeng, seperti syarat ditetapkan Putrajaya dalam pembaharuan lesen operasinya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze berjanji akan mempercepatkan pembinaan PDF itu dan beliau juga yakin Lynas boleh mendapat kebenaran negara lain untuk menerima sisa WLP sebagai alternatif.

“Rangka kerja perancangan dan pemilihan tapak PDF Lynas diluluskan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sebelum ini. Tambahan, kerajaan Pahang sudah memberi kelulusan bertulis untuk mencari sebuah tapak PDF di negeri itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, AELB di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengumumkan lesen operasi Lynas dilanjutkan 6 bulan bersama 3 syarat, lebih pendek daripada kebiasaan 3 tahun.

Syarat pertama ialah membina kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara dalam masa 4 tahun daripada tarikh lesen diperbaharui dan ia tidak boleh menghasilkan sisa radioaktif melebihi 1 becquerel per gram di Gebeng selepas itu.

Syarat kedua ialah mengenal pasti tapak pembinaan PDF dengan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri, serta mengemukakan kebenaran rasmi bertulis daripada pihak berkuasa negara lain untuk membawa keluar sisa WLP ke negara terbabit.

Syarat ketiga ialah menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula sisa WLP sebagai “Condisoil” dalam bidang pertanian serta 0.5% hasil jualan kasar tahunan untuk R&D diserahkan kepada Putrajaya sebagai cagaran tambahan sehingga kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara mula beroperasi.

Lacaze berkata, Lynas akan menyerahkan 0.5% jualan kasar tahunan yang digunakan untuk menjalankan R&D sebelum ini kepada Putrajaya sebagai jaminan tambahan sehingga kemudahan “Cracking and Leaching” mula beroperasi di Australia.

“Bahagian berkaitan jumlah jaminan itu dijangka boleh digunakan untuk projek pembinaan PDF. Tetapi, butiran mengenai kos dan jadual pembinaan akan diberikan ketika projek ini bermula.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang memperbaharui lesennya dan berharap langkah itu dapat menggalakkan pelabur asing melabur dalam industri hiliran di Malaysia.

“Kami optimis keputusan ini akan menamatkan permainan politik terhadap Lynas sejak beberapa tahun lalu. Lynas akan terus memberi sumbangan positif kepada ekonomi Malaysia dan wawasan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) Malaysia.”

Lacaze mengulangi operasi Lynas adalah selamat dan ia adalah pelabur langsung asing yang baik dengan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan dan membelanjakan lebih RM600 juta dalam ekonomi tempatan setiap tahun.

 



Comments
Loading...