Syed Saddiq juga mahu Dr Zakir Naik ditendang keluar dari Malaysia


Syed Saddiq kurang senang dengan kenyataan kontroversi Dr Zakir Naik dan setuju kerajaan mengusir pendakwah itu diusir dari Malaysia. 

(Astro Awani) – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu pendakwah Dr Zakir Naik diusir dari Malaysia.

Menerusi kenyataan melalui aplikasi WhatsApp, Menteri Belia dan Sukan itu turut berkongsi kemarahannya ke atas kenyataan yang dikeluarkan Dr Zakir Naik sebelum ini.

“Serangan ke atas saudara Cina dan India merupakan serangan ke atas semua rakyat Malaysia,” katanya.

Jelasnya lagi, memanggil rakyat Malaysia sebagai ‘tetamu’ merupakan tindakan yang tidak masuk akal.

“Demi Tuhan, mereka tu rakyat Malaysia! Cukup cukuplah…” jelasnya lagi.

Sebelum itu, Syed Saddiq turut memuat naik entri menyelar pendakwah yang kini menjadi bualan hangat rakyat Malaysia.

“Orang Cina Malaysia BUKAN TETAMU, tetapi warganegara Malaysia yang cintakan Negara bertuah ini.

“Kekuatan Malaysia adalah kesatuan rakyatnya. Cukuplah perlekehkan kesatuan & kesetiaan kita.

“Saya kenal ramai orang Cina & India yang sanggup mati pertahankan negara tercinta kita,” katanya lagi.

Selain Syed Saddiq, nada yang sama turut diluahkan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran yang menggesa kerajaan mengusir Dr Zakir Naik.

 



Comments
Loading...