Polis akan siasat Zakir Naik, kata Moorthy


(FMT) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy hari ini menyeru masyarakat India Malaysia bertenang berhubung ucapan penceramah kontroversi Dr Zakir Naik mengenai kesetiaan mereka kepada perdana menteri.

Waytha, yang bertanggungjawab terhadap perpaduan negara, juga menggesa mereka mempunyai keyakinan terhadap siasatan polis sama ada Zakir melanggar mana-mana undang-undang negara.

Beliau berkata terdapat banyak “emosi dan perasaan berlingkar” dalam kalangan masyarakat bukan Islam berhubung ucapan Zakir mengenai kepercayaan orang lain.

Ini termasuk dakwaannya bahawa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun menerima lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Kenyataan itu dibuat Zakir semasa ceramahnya di Kelantan, yang didakwanya dipetik di luar konteks.

Waytha berkata masyarakat India di Malaysia kecewa apabila agama mereka direndah-rendahkan dan patriotisme mereka dipersoalkan.

Katanya, beliau difahamkan ramai NGO dan orang awam membuat laporan polis terhadap Zakir.

“Saya menyeru masyarakat India Malaysia bertenang dan yakin bahawa pasukan polis akan menjalankan siasatan mereka secara adil, sebagai badan bebas dalam proses demokrasi kita, untuk memastikan sama ada kebebasan yang diberikan kepada Zakir Naik melanggar undang-undang negara ini,” katanya.

 



Comments
Loading...