Air mata Qistina iringi pemergian suami Syed Muhammad Danial [METROTV]


(MyMetro) – JENAZAH Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, yang meninggal dunia selepas dilanggar kereta dipandu seorang lelaki di Kilometer KM293.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur keluar Bangi, semalam, selamat dikebumikan, petang hari ini.

Jenazah Syed Muhammad Danial selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Bukit Mahkota, Bangi, 4.45 petang.

Terdahulu, jenazah Syed Muhammad Danial dibawa ke Masjid At Taqwa di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, untuk disembahyangkan sebaik selesai proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang kira-kira 3 petang tadi.

Lebih 100 individu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan Syed Muhammad Danial hadir di tanah perkuburan berkenaan.




Isteri mangsa, Qistina Ayu Rozhan, 28, dilihat tidak dapat menahan sebak ketika menyiram air ke pusara suaminya sebelum ditenangkan bapanya, Mohd Rohzan Ramlee, 57.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek berusia 40 tahun selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Difahamkan kereta Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, berlaku pergaduhan antara suspek sebelum mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Suspek yang kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar Syed Muhammad Danial.

Kejadian itu menyebabkan Syed Muhammad Danial tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan sebelum dikejarkan ke Nilai Medical Centre oleh orang awam.

 



Comments
Loading...