Tiada sesuai ganti Dr. Mahathir ketika ini
(Utusan) – Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu diberi ruang memimpin negara sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal memandangkan tidak ada pengganti yang dilihat lebih sesuai memegang jawatan itu ketika ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam keadaan sekarang, Dr. Mahathir adalah lebih baik daripada mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
Ujarnya, biar rakyat menilai dan tentukan siapa Perdana Menteri seterusnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kaedah dia, apabila hendak tukar sesuatu, sudah tentu kita akan pilih lebih baik, tetapi sekarang tidak nampak ada orang lebih baik meskipun kita kenal lama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Daripada segi pengalamannya, biar Dr. Mahathir selesai (sebagai Perdana Menteri sampai habis penggal) sehingga rakyat menilai semula hala tuju kerajaan dalam pilihan raya selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian Pas dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menegaskan, pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah dilontarkannya supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.
Tambah Hashim, sokongan itu bukan bermadsud Pas bersama Dr. Mahathir, sebaliknya beliau sahaja yang dilihat sesuai memimpin negara pada masa ini.-