PAS, Umno mahu Aminudin kekal MB, bantah ‘Langkah Kajang 2.0’


(FMT) – PAS dan Umno Selangor hari ini menyokong penuh Amirudin Shari kekal sebagai menteri besar sehingga habis panggil, susulan desas-desus cubaan menukar menteri besar di sebalik perbalahan dalaman Pakatan Harapan.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata pembangkang tidak mahu peristiwa “Langkah Kajang” berulang, yang menyaksikan menteri besar sebelum ini, Khalid Ibrahim tersingkir kerana PKR mahu melantik menteri besar baru.

Ahmad menegaskan pertukaran menteri besar sebelum penggal tamat akan menyusahkan rakyat.

“Kita lihat kekecohan antara parti dalam Pakatan Harapan di peringkat pusat sudah menyerap ke Selangor. Kita harap tidak berlaku pertukaran kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa penyelaras perpaduan ummah yang dihadiri pimpinan PAS dan Umno Selangor hari ini.

Pemimpin PAS dan Umno negeri selepas mesyuarat jawatankausa penyelaras perpaduan ummah di bangunan Umno Selangor hari ini.

Hadir sama Pengerusi Umno Selangor, Mat Naszari Ahmad Dahlan.

Semalam, sumber memaklumkan Amirudin mungkin dipanggil ke lembaga disiplin PKR tidak lama lagi berhubung kenyataannya berkaitan video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

“Kalau dia digantung, kami mahu Idris ambil alih,” katanya, merujuk kepada Adun Ijok, Idris Ahmad.

Perkembangan ini di sebalik ketidakpuasan hati dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan Selangor ekoran cadangan pindaan yang membolehkan penukaran agama anak secara sebelah pihak di negeri itu.

Sumber lain berkata spekulasi mengatakan cadangan itu bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan politik pemimpin tertentu.

Ditanya pendirian PAS Selangor terhadap cadangan tersebut, Ahmad berkata partinya menyokong apa juga kebaikan berkaitan hal ehwal Islam.

“Mereka mempunyai kerajaan yang cukup selesa. 50 Adun daripada 56 kerusi tidak boleh bawa usul itu ke Dewan Negeri Selangor adalah amat memalukan,” katanya.

Ahmad menegaskan Adun berhak membahaskan cadangan itu.

“Bawalah dan bahaskan. Sokong atau tidak itu hak Adun,” katanya.

 



Comments
Loading...