Lynas mahu guna bekas kolam lombong untuk lupus sisa


(FMT) – Lynas Malaysia Sdn Bhd telah mendepositkan wang tunai dan bon bersandarkan tunai sebanyak AS$42.2 juta dengan kerajaan Malaysia bagi membiayai pengurusan sisa jangka panjang di kilangnya di Pahang.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, pengurusan sisa yang terhasil daripada pemprosesan nadir bumi di kilangnya di Gebeng, Kuantan, sentiasa merupakan sebahagian penting daripada perancangan dan operasinya, dan ia sentiasa mematuhi syarat lesen ang menghendaki sisa berkenaan disimpan selamat.

Kenyataan berkenaan, yang ditanda tangani oleh pengurus urusan, Mashal Ahmad dan pengurus besar keselamatan radiasi, kawal selia dan pematuhan, Ismail Bahari berkata, Lynas kini menimbangkan beberapa opsyen untuk menyimpan sisa penulenan air larut lesap (water leach purification) (WLP), termasuk kolam lombong yang tidak digunakan di negeri itu.

Lynas berkata, ia mengalu-alukan isyarat terbaru yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa eksport sisa WLP tidak akan menjadi syarat pembaharuan lesen operasinya.

Katanya, sisa berkenaan disimpan di pusat pembuangan kekal (PDF) yang diluluskan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.

Menurut kenyataan itu lagi, Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Lynas yang ditubuhkan oleh kerajaan mendapati operasi Lynas Malaysia mematuhi peraturan ditetapkan dan kemudahan penyimpanan sisanya dijalankan dengan kaedah yang betul.

“Lynas juga mematuhi syarat lesen supaya menyempurnakan kajian untuk mengenal pasti pilihan penggunaan semula sisanya dengan cara selamat.

“Kajian bebas dan industri sejak beberapa tahun lepas juga menunjukkan sisa WLP, iaitu bahan fosfat besi, mempunyai paras radioaktif yang sangat rendah dan selamat untuk digunakan semula dalam produk pemulih tanah.

“Selain itu, Lynas juga mematuhi syarat lesennya berkait rancangan PDF. Sekiranya kerajaan Malaysia mahu PDF diwujudkan, maka amalan dan kajian pengurusan sisa Lynas sedia ada, selain amalan terbaik antarabangsa, boleh digunakan untuk mengenal pasti pilihan terbaik dalam penggunaan semula bahan itu,” katanya.

Kenyataan itu berkata, sebagai contoh, terdapat banyak bekas kolam lombong yang tidak digunakan di Pahang dan perlu dipulihkan. Justeru sesebuah PDF boleh dibentuk dalam membantu memulihan tanah terbabit, sekali gus memberi manfaat kepada alam sekitar secara mapan.”

Lynas memberi jaminan bahawa ia akan bekerjasama dengan kerajaan pusat dan negeri untuk melaksanakan rancangan tersebut.

Lesen operasi kilang pemprosesan Lynas tamat pada 2 Sept depan.

Pada 2 Ogos lepas, Mahathir dilaporkan berkata bahawa Lynas diarahkan membina sebuah PDF bagi merawat sisa WLP yang terhasil daripada pemprosesan nadir bumi di kilangnya di Gebeng.

tags: lynas malaysia, gebeng, lesen operasi, nadir bumi, pengurusan sisa, fosfat besi, pdf,kolam lombong,lembaga perlesenan tenaga atom.

 



Comments
Loading...