Kes rogol Exco Perak: Kenapa laporan forensik tidak disertakan?
(New Malaysian Post) – POLIS Perak diminta menjelaskan mengenai dakwaan berlaku kesilapan tidak melampirkan laporan forensik sehingga menyebabkan kertas siasatan kes membabitkan seorang Exco kerajaan yang didakwa merogol pembantu rumahnya terpaksa ditolak pihak pendakwa raya .
Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie berkata, adalah amat memalukan apabila pejabat timbalan pendakwa raya terpaksa memulangkan semula kertas siasatan kepada polis kerana bukti paling penting iaitu laporan forensik dan pakar perubatan tidak disertakan.
“Laporan bahawa kes tuduhan rogol terhadap Exco Perak, Paul Yong telah ditolak dan dikembalikan akibat polis gagal melampirkan laporan pakar forensik dan perubatan adalah amat mengejutkan.
“Lebih membimbangkan lagi, ia dikhuatiri akan menangguhkan proses perbicaraan mahkamah tentang kes dakwaan Exco Paul Yong merogol pembantu rumahnya.
“Sehubungan itu, selaku Ketua Polis Perak, adalah obligasi Datuk Razarudin Husain untuk memberi penjelasan yang sepenuhnya dan meminta maaf kepada mangsa dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Yong yang juga ADUN Tronoh dari DAP sebelum ini disiasat polis selepas pembantu rumahnya membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol pemimpin tersebut.
Yong bagaimanapun menafikan dakwaan itu sambil menyatakan rasa “terkejut dan keliru” dengan tuduhan berkenaan.
Pelbagai pihak juga sebelum ini mempersoalkan kejanggalan dalam kes itu apabila Yong tidak ditahan reman untuk siasatan seperti kes-kes rogol lain, malah dibenarkan terus menjalankan tugas sebagai exco kerajaan negeri Perak.
Mengulas lanjut, Seai Kie berkata, perkembangan tersebut perlu diambil berat memandangkan kecuaian itu menyebabkan satu kes pendakwaan jenayah ditolak dan melengahkan prosedur kehakiman.
“Akibatnya, Timbalan Pendakwa Raya terpaksa mengembalikan kertas siasatan kepada PDRM kerana “tidak cukup bukti”. Ini memang tidak munasabah dan tidak boleh diterima sama sekali.
“Oleh itu , kami meminta agar Ketua Polis Perak untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap dalang yang terlibat, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM.
Seai Kie menegaskan: “Tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang. Sebagai pelindung rakyat, PDRM digesa mengamalkan sikap profesional, akauntabiliti, ketelusan dan berkecuali semasa menjalankan tugasan mereka.”