Khairy: Usul terhadap Guan Eng jika dakwaan BN ‘rompak’ bayaran balik GST tak benar


(FMT) – Khairy Jamaluddin tak menolak kemungkinan membawa usul menghadapkan Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan Dewan Rakyat, sekiranya siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan laporan yang menyangkal dakwaan Barisan Nasional merompak wang bayaran balik GST.

“Tuduhan ini dibuat ketika saya dan menteri kewangan sedang berbahas semasa Rang Undang-undang pemansuhan GST dan pengenalan semula SST,” kata Ahli Parlimen Rembau itu dalam kenyataan hari ini.

“Saya sudah buat laporan polis terhadap perkara ini, maka adalah wajar untuk saya mengusul dan mencadangkan Dewan Rakyat mengambil tindakan ke atas tuduhan dan kekeliruan ditimbulkan menteri kewangan.”

PAC memulakan siasatan terhadap isu bayaran balik GST selepas Lim, ketika menggulung perbahasan RUU Cukai Jualan 2018 pada Ogos tahun lepas, memberitahu Dewan Rakyat bahawa BN “merompak” bayaran balik GST.

Menteri kewangan itu juga dilapor berkata sebanyak RM19.4 bilion dana bayaran balik GST diselewengkan pentadbiran BN.

Najib Razak, yang menggalas portfolio kewangan pada pentasdbiran lepas, menafikan dakwaan itu.

Pengerusi PAC, Noraini Ahmad berkata laporan jawatankuasa itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Noraini berkata, semua ahli PAC berjaya mencapai keputusan sebulat suara untuk menyiapkan laporan tersebut khususnya rumusan dan syor berhubung tuntutan itu.

 



Comments
Loading...