Penyatuan UMNO-Pas: Agenda perkukuh semangat, sokongan Melayu


(Utusan) – Kerjasama politik antara UMNO dan Pas yang dilihat semakin erat disifatkan sebagai agenda terbaik dalam usaha memperkukuhkan semangat serta sokongan orang Melayu di negara ini.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya berkata, malah langkah yang diambil kedua-dua parti politik itu merupakan usaha yang perlu dikembangkan dan diperluaskan kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat.

Katanya, beliau berharap dengan kerjasama tersebut akan menjadi satu mukadimah penyatuan sebagai aspirasi kepimpinan ulung pada masa akan datang.

“Konsep penyatuan antara UMNO dan Pas ini merupakan satu agenda yang baik, bagus serta dinamik kerana secara tidak langsung boleh memperkukuh dan menguatkan sokongan dan semangat orang Melayu.

“Perkara ini perlu dikembangkan dan diperluaskan sejajar dengan konsep penyatuan ummah khususnya dalam kalangan orang-orang Melayu menerusi NGO mahupun masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai gabungan kerjasama antara UMNO dan Pas melalui gerakan Perpaduan Ummah kini dilihat semakin kuat sehingga ‘menggerunkan’ Pakatan Harapan (PH).

 



Comments
Loading...