Kerajaan mahu cantum tanah peneroka Felda jadi estet besar, kata Mahathir


(FMT) – Kerajaan akan mencantumkan tanah peneroka Felda dan diuruskan sebagai sebuah estet besar bagi menjana pendapatan lebih baik kepada golongan itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau percaya jika pertanian diuruskan dengan skala besar, ia mampu memberi keuntungan yang cukup kepada peneroka Felda.

“Kerajaan merancang untuk menjadikan kawasan Felda sebagai estet besar yang diurus oleh orang terlatih dalam pengurusan estet dan peneroka boleh bekerja atau mendapat bahagian mereka berdasarkan besarnya tanah yang dimiliki,” katanya pada majlis sambutan Hari Peneroka 2019 di Felda Selancar 3, Rompin, hari ini.

Beliau berkata, Felda sebelum ini tidak diuruskan dengan baik sehingga menyebabkan agensi itu tidak mendapat keuntungan, sementara peneroka pula terpaksa menanggung hutang.

Katanya, pemerhatian kerajaan mendapati hanya dengan adanya estet besar kerajaan boleh memberikan pendapatan yang mencukupi kepada peneroka seperti yang dilakukan oleh orang asing seperti British sebelum ini sehingga berjaya melahirkan ramai jutawan.

“Kerajaan akan susun semula pentadbiran dan pengurusan Felda,” katanya lagi.

Dalam pada itu Mahathir mengakui kesilapan kerajaan memberikan hanya 10 ekar tanah kepada setiap peneroka kerana ia tidak membawa pulangan besar kepada kelompok tersebut.

“Kita kena akui bahawa kita telah salah dalam mentadbir Felda ini dengan memberi 10 ekar sahaja dan tidak ditadbir sebagai ladang besar. Oleh sebab itu, hari ini kita dapati ramai daripada peneroka menderita,” katanya.

Mahathir sekali lagi menyarankan kepada peneroka supaya mempelbagaikan tanaman bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kemiskinan berikutan kejatuhan harga sawit dan getah.

Katanya, tanah yang dimiliki hendaklah digunakan sebaik mungkin dengan kebun tanaman campuran supaya petani tidak putus pendapatan.

“Apabila kita bergantung pada hanya 1 jenis tanaman, kejatuhan harganya akan menyebabkan kita menderita,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya ladang besar, mungkin 1,000 ekar atau lebih, sebahagian ladang boleh ditanam dengan buahan-buahan atau sayur-sayuran kerana permintaannya amat besar di negara ini.

“Setiap tahun kita beli dari negara asing RM60 bilion sayuran dan buah-buahan, sedangkan semuanya dapat diperolehi di Malaysia,” katanya selain menyebut bahawa langkah itu juga akan membolehkan peneroka tidak lagi bergantung pada subsidi kerajaan.

“Dengan perubahan ini maka peneroka dapat hasil lebih baik, dapat hidup lebih sempurna dan kawasan luar bandar tidak lagi menjadi kawasan kemiskinan,” katanya.

 



Comments
Loading...