Desakan terhadap Azmin, hak individu – Anwar Ibrahim


(Malaysia Gazette) – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti tidak punya kuasa untuk menghalang sesiapa sahaja mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pendapat mereka.

Jelas beliau, PKR tidak boleh mempertikaikan hak bersuara rakyat di negara ini atas landasan demokrasi.

“Kita tidak pertikai hak sesiapa nak suarakan pandangan tetapi kita sudah buat kenyataan kita serah kepada urusan polis.

“Saya tidak ikuti video lama atau baharu, kerana kita tidak layan tetapi NGO boleh bangkitkan hujah tapi kalau kita kena hormat proses siasatan polis,” katanya dalam Majlis Minum petang dan perjumpaan bersama pimpinan parti Negeri Sembilan dan Melaka, hari ini.

Anwar berkata demikan mengulas mengenai tindakan sebuah NGO yang diberi nama Anak Muda Tolak Semburit dan Bersih 0.7. yang membuat beberapa demonstrasi aman sejak semalam.

Terbaharu, satu demonstrasi diadakan di hadapan Masjid Putra, Purajaya petang tadi bagi mendesak Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali meletakkan jawatan ekoran tersebarnya video lucah yang didakwa melibatkan dirinya.

Ia dihadiri lebih 20 peserta yang rata-rata memakai topeng sambil memegang beberapa plakad, antaranya “We Love Tun Mahathir”, “Jangan bebankan Tun Mahathir dengan kes semburit”, “Azmin sila letak jawatan” dan “Kami rakyat Malaysia malu ada menteri kaki semburit”.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui isu video lucah melihatkan Azmin sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap parti di akar umbi.

Namun katanya, ketaatan parti di peringkat akar umbi tidak terjejas.

“Ada sedikit menjejaskan parti tapi saya tengok kepimpinan parti mantap, ketaatan kepada perjuangan parti.

“Kita tidak menghukum sebelum kita dapat fakta dan tidak wajar kita lakukan begitu. Kita masih dengan sikap kita daripada awal.

“Kalau setakat negeri yang saya hadir termasuk Sabah Sarawak, saya lihat kehadiran mereka penuh dan masih berkobar-kobar tetapi tentukan mereka rasa prihatin tentang pendirian parti dengan tuduhan yang dibawa oleh Haziq,” katanya lagi.

PKR diheret bersama apabila beberapa video mirip Timbalan Presiden, Azmin Ali tersebar sejak bulan lalu.

Ia diikuti dengan pemecatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul yang dibuat semalam.

Pada 19 Jun lepas, biro politik PKR telah memberi Haziq tempoh 14 hari untuk memberi surat tunjuk sebab, rentetan dari kemelut video seks yang melanda parti itu serta kerajaan.

Ia ekoran pengakuan Haziq yang mendakwa mengadakan hubungan intim dengan seorang pemimpin kanan parti dan kerajaan.

Haziq mendakwa, pasangannya dalam video itu ialah Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Azmin bagaimanapun, menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan tuduhan itu berniat menjatuhkan reputasi, maruah dan kedudukannya sebagai pemimpin.

 



Comments
Loading...