Najib dakwa hutang negara kini lebih RM797 bilion


(FMT) – Najib Razak mencabar Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk “membuktikan saya salah” bahawa hutang rasmi negara kini meningkat kepada RM797.4 bilion.

Memetik angka dari laman web Bank Negara Malaysia (BNM), bekas perdana menteri itu berkata kerajaan menerbitkan bon sukuk untuk meminjam lagi sebanyak RM4 bilion semalam dengan bayaran balik pada 2039.

Beliau berkata angka itu menunjukkan kerajaan meminjam RM67 bilion melalui sukuk tempatan bagi tempoh 6 bulan pertama 2019.

Pada Mac, Lim juga mengumumkan kerajaan meminjam RM7.3 bilion daripada sumber asing dengan mengeluarkan bon Samurai.

Bercakap kepada FMT, Najib yang juga bekas menteri kewangan, berkata beliau terkejut dengan kadar pinjaman kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).

“Maklumat ini terdapat di laman web BNM untuk sesiapa sahaja menyemak. Berdasarkan pengiraan saya, hutang negara kini berjumlah RM797.4 bilion. Menjelang bulan depan, saya percaya ia akan meningkat kepada RM800 bilion.”

Beliau berkata ini adalah peningkatan lebih RM100 bilion sejak PH mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional yang dipimpinnya memandangkan hutang kerajaan adalah RM686 bilion menjelang akhir 2017.

“Mereka sudah mengambil RM82 bilion daripada Petronas tahun lepas, mereka menjual aset bernilai namun mereka terus meminjam wang begitu banyak,” katanya.

Walaupun pentadbiran BN juga meminjam wang, ahli Parlimen Pekan itu berkata ia komited untuk mengetepikan sebahagian besar wang untuk membayar balik pinjaman tersebut. Kesannya, hutang di bawah kerajaan BN meningkat pada kadar yang lebih perlahan berbanding kerajaan PH.

Najib berkata pada 2017, kerajaan meminjam RM113.9 bilion dan membayar balik RM73.2 bilion, meningkatkan hutang negara sebanyak RM40.8 bilion.

Sebagai perbandingan, beliau berkata pentadbiran baru meminjam RM114.8 bilion dan hanya membayar balik RM63.8 bilion, mengakibatkan peningkatan hutang negara pada 2018.

“Bagi 6 bulan pertama 2019 sahaja, mereka meminjam RM74.3 bilion tetapi mereka hanya membayar balik RM17.7 bilion. Ini bermakna hutang negara meningkat sebanyak RM58.6 bilion.”

Najib berkata DAP sentiasa mendakwa pinjaman 1MDB sebanyak RM30 bilion jahanamkan negara walaupun ada projek-projek bernilai RM140 bilion (Bandar Malaysia dan RM40 bilion (TRX) serta perjanjian penyelesaian dengan IPIC.

“Bukan sahaja PH tidak membayar balik pinjaman tertunggak 1MDB, mereka meminjam wang pada kadar lebih cepat daripada BN dan membayar balik dengan jumlah yang kurang.

“Saya benar-benar tidak terkejut jika propaganda mereka mengenai apa yang dipanggil hutang RM1 trilion menjadi kenyataan menjelang 2020 jika mereka terus meminjam wang pada kadar ini,” katanya.

Terdahulu, Lim mengakui hutang langsung kerajaan dan jaminan kerajaan meningkat apabila beliau mengumumkan keseluruhan hutang itu melepasi RM1.1 trilion.

Bagaimanapun, beliau berkata hutang kepada nisbah keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah berkurangan.

Najib berkata beliau tertunggu-tunggu mesyuarat Parlimen akan datang, yang bermula pada Isnin, kerana beliau berharap Lim akan mengambil peluang untuk membuktikan pengiraannya salah.

 



Comments
Loading...