Saifuddin: Putrajaya sah terima permohonan India untuk ekstradisi Zakir Naik


(FMT) – Malaysia telah menerima permohonan India untuk mengekstradisi penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Perkara itu disahkan, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, apabila New Delhi menghantar nota permohonan itu, bagaimanapun Malaysia tetap dengan keputusan sebelum ini bahawa Zakir tidak akan dihantar pulang ke negara asalnya.

“Kita sudah terima nota (permohonan mengekstradisi) daripada kerajaan India, saya tidak ingat bila, tetapi kita sudah terima.

“Buat masa ini, kita tidak ada keputusan baru, masih dengan keputusan asal (tidak akan menghantar Zakir Naik),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku “Bantuan Demokrasi Pendanaan Asing Di Malaysia”, tulisan Takiyuddin Ismail di Universiti Malaya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia bertegas tidak membenarkan ekstradisi Zakir.

Beliau berkata, Malaysia berhak tidak membenarkan Zakir diekstradisi jika beliau tidak diberikan keadilan.

Pihak berkuasa India memfailkan tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah kira-kira RM115 juta terhadap Zakir, yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia.

Pada 16 Jun ini mahkamah di Mumbai dijangka membuat keputusan sama ada satu waran tangkap tidak boleh jamin perlu dikeluarkan atau sebaliknya.

Sekiranya dikeluarkan, India akan meminta bantuan Interpol bagi menahan Zakir dan membawanya pulang untuk dibicarakan. Beliau juga dituduh menimbulkan kebencian dan permusuhan antara pelbagai komuniti agama melalui syarahannya.

 



Comments
Loading...