Bung persoal SPRM berhubung kehilangan senarai penerima dana 1MDB


(FMT) – Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan tindakan terpilih dalam langkah terbarunya untuk mendapatkan kembali dana 1MDB yang disalurkan kepada Umno bahagian di seluruh negara.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mempertikai bekas pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang lompat parti selepas perubahan kerajaan tahun lalu, mengatakan mereka hilang daripada senarai walaupun menerima wang daripada Najib Razak.

“Mengapa hanya 41 orang? Bagaimana dengan yang selebihnya?” soal Bung, merujuk individu dan entiti yang SPRM dakwa menerima wang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Minggu lepas, SPRM mengumumkan saman pelucuthakan sivil terhadap 41 individu, mendesak mereka mengembalikan wang itu untuk mengelak tindakan di bawah undang-undang anti pengubahan wang haram.

Badan anti rasuah itu juga berkata sebahagian besar daripada RM270 juta itu disalurkan ke bahagian dan cawangan Umno, termasuk Umno Sabah.

KP SPRM yang baru, Latheefa Koya ketika mengumumkan senarai 41 individu dan entiti yang didakwa menerima dana daripada 1MDB.

Bung mempersoalkan ketiadaan Mustapa Mohamad, bekas ketua Umno Kelantan yang menyertai PPBM tahun lepas, yang tiada dalam senarai yang ditunjukkan SPRM.

Bung berkata Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli dan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri di bawah pentadbiran Najib, sebelum ini dipanggil SPRM berhubung dana 1MDB yang dikatakan diberikan kepada Umno Kelantan.

Bung berkata Upko yang berpengkalan di Sabah, yang memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) selepas kekalahan BN di negeri itu tahun lepas, juga hilang daripada senarai SPRM.

Akaun bank parti itu dibekukan sejak tahun lepas sebagai sebahagian daripada penyiasatan 1MDB.

“Bagi saya, ini adalah pendakwaan terpilih,” kata Bung kepada FMT. “Adakah SPRM tidak cuba mendapatkan dana daripada mereka? Saya harap mereka boleh memperjelaskan ini dan memaklumkan orang ramai.”

Sementara itu, Bung mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya menjelaskannya, mengatakan ketiadaan penerima lain daripada Najib adalah cubaan menghukum sesetengah kumpulan politik.

“Kami berharap Latheefa akan menjalankan tugas dengan baik dan adil, tetapi sekarang kami hilang keyakinan,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan senarai 41 penerima yang ditunjukkan oleh SPRM hanyalah sebahagian kecil penerima dana tersebut.

Beliau berkata senarai itu sebenarnya lebih panjang, dan beliau tidak tahu sama ada SPRM sedang membuat senarai baru.

“Tetapi satu perkara yang pasti ialah terdapat lebih 41 entiti yang menerima wang dari 1MDB.”

Bung berkata beliau percaya tindakan terbaru itu adalah disebabkan kekuatan Umno yang semakin bertambah kerana bekerjasama dengan PAS.

Beliau berkata penafian dana kepada Umno adalah cubaan terdesak untuk menyekat dana bekas parti pemerintah itu, sambil menambah PH mahu menutup kegagalannya.

“Mereka tidak boleh menunaikan janji manifesto mereka dan rakyat mempersoalkan keupayaan mereka untuk mentadbir.

“Inilah sebabnya mengapa PH mahu melemahkan kita dan melihat kita menderita tanpa pembiayaan,” katanya.

Bung mengulangi gesaannya untuk membuktikan wang yang diberikan kepada Umno datang daripada 1MDB, sambil menambah pengkritik yang membuat tuduhan itu harus mengemukakan bukti.

“Adakah kamu mempunyai bukti wang itu dari 1MDB? Sekiranya kamu tidak ada, diam, tutup mulut kamu.”

 



Comments
Loading...