Tidak timbul isu lepas jawatan TPM- Dr Wan Azizah


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tidak timbul isu untuk beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

(BH) – Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana dalam perjanjian sebelum ini dipersetujui beliau akan menjadi timbalan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, dalam perjanjian itu juga dipersetujui beliau kekal Timbalan Perdana Menteri walaupun Anwar dilantik Presiden PKR.

“Saya sudah katakan akan meletak jawatan apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, jadi tiada isu dalam perkara ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pertahanan Siber di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai desakan beberapa pihak supaya beliau melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi menyelesaikan isu berkaitan jawatan dan kedudukan dalam PKR.

Antara yang lantang membuat gesaan itu bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai CheguBard.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli yang juga bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor mencadangkan Wan Azizah menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada suaminya.

Shaid berkata, peralihan kuasa pada masa ini tidak masuk akal sama sekali memandangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri masih dipegang Dr Wan Azizah.



Comments
Loading...