Peguam: Kenyataan PM ‘tolak’ video seks sejenis tidak ganggu siasatan polis


(FMT) – Seorang peguam berkata, Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah tepat dengan menolak dari awal ketulenan video seks tular yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet, selain menambah bahawa ia tidak mengganggu siasatan polis.

“Dalam Malaysia baru, perdana menteri atau mana-mana orang tidak campur tangan dalam siasatan bebas yang dijalankan oleh polis,” kata peguam jenayah, SN Nair kepada FMT.

“Justeru, kenyataan Tun tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas siasatan polis yang sedang berjalan.”

Anggota jawatankuasa pusat MIC RT Rajasekaran, yang juga seorang peguam, baru-baru ini mengkritik Mahathir kerana mempersoalkan ketulenan video tersebut dengan berkata, beliau mungkin mengganggu siasatan polis ke atas kes itu.

Mahathir baru-baru ini memberitahu pemberita bahawa beliau percaya klip video itu palsu dan Haziq Aziz, ketua Pemuda PKR yang mendakwa dirinya merupakan salah seorang lelaki dalam video tersebut, mempunyai agenda politik.

Haziq mendakwa lelaki pasangannya dalam video berkenaan adalah timbalan presiden parti itu dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan beliau.

“Saya tidak fikir ini betul. Sekarang anda boleh hasilkan pelbagai bentuk gambar jika anda pandai.” kata Mahathir minggu lepas ketika diminta memberi komen mengenai video terbabit.

Beliau juga berkata, Azmin tidak mungkin “terlalu bodoh” untuk melakukan perkara itu.

Nair berkata, sebagai pemimpin Pakatan Harapan (PH), Mahathir bertanggungjawab menyuarakan pandangan segera beliau mengenai isu tersebut.

“Jika tidak, ia akan memburukkan lagi keadaan yang sudah sedia berkecamuk yang akan memberi kesan negatif ke atas Kabinetnya.

“(Kenyataannya) membantu meredakan spekulasi yang umumnya tidak dapat dikawal.

“Sebagai ketua kerajaan, bagus baginya sejak dari awal mengenal pasti dakwaan itu sebagai tidak sahih dan merupakan dengar cakap semata-mata.”

Nair, yang merupakan bekas pegawai polis berkata, kenyataan Mahathir lebih banyak baik daripada buruk, tidak seperti didakwa sesetengah pihak.

Peguam, Nizam Bashir berkata, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberitahu bahawa satu kertas siasatan telah dibuka.

Semalam Hamid berkata, polis akan memanggil semua pihak, termasuk inidividu yang membuat tuduhan serta individu yang dituduh, selain menambah bahawa siasatan juga akan melihat ketulenan klip video dan gambar yang didedahkan.

Justeru Nizam bertanya bagaimanakah Rajasekaran boleh mendakwa siasatan polis berkemungkinan tidak adil hanya kerana kenyataan Mahathir.

Beliau juga berkata, Azmin turut menyuarakan keyakinan beliau bahawa polis akan memastikan siasatan mereka dijalankan secara profesional.

Polis semalam melepaskan Haziq selepas menahan beliau pada Jumaat.

Ketua Pemuda PKR Santubong berusia 27 tahun itu disiasat atas beberapa kesalahan termasuk mengadakan hubungan seks di luar aturan tabii dan penyebaran bahan lucah.

 



Comments
Loading...