PPBM gesa kerajaan semak semula kontraktor Bumiputera


(FMT) – PPBM menggesa kerajaan menyemak semula senarai kontraktor kecil dan sederhana, terutama kontraktor Melayu Bumiputera dalam pemberian kontrak kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan perlu mendengar keluhan golongan itu yang dituduh memperolehi kontrak melalui jalan belakang atau rasuah.

“Mereka adalah sebahagian dari kita dan kita naik hasil pengorbanan mereka menolak kerajaan yang rasuah.

“Jangan kita teruskan penyisihan yang dimulakan sebelum ini terhadap mereka. Mereka hanya mahu proses yang lebih adil dan telus, sejajar dengan agenda Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menyeru kerajaan supaya memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera untuk terlibat dalam projek infrastruktur mega negara, sekali gus menyumbang kepada pembinaan negara.

Presiden PKBM, Mokhtar Samad berkata, kontraktor Bumiputera amat sesuai diketengahkan dalam pembangunan infrastruktur, terutamanya pembinaan rel.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata ahli politik akar umbi dan ketua bahagian parti politik bukan mahu mengkayakan diri sendiri apabila bercakap mengenai kontrak kerajaan.

“Sebaliknya, mereka mahu mencari rezeki yang halal untuk membolehkan mereka meneruskan perjuangan membela nasib rakyat, termasuklah melalui saluran badan kebajikan dan parti politik.

“Ramai di antara mereka tidak segan silu mengeluarkan wang sendiri untuk aktiviti kebajikan rakyat,” katanya.

Ahli politik PH juga, katanya, tidak mahu kontrak diberikan secara membuta tuli seperti apa yang dibuat oleh kerajaan terdahulu, sebaliknya mahu bersaing dan memenangi kontrak secara sihat dan sah.

“Mereka merasakan sekarang ini padang persaingan adalah tidak sama rata. Mereka merasakan di bawah rejim sebelum ini, nama mereka disisihkan daripada senarai.

“Dan hari ini mereka masih tidak mendapat peluang untuk kembali bersaing dalam senarai itu. Walaupun dijalankan undian semasa pembahagian kontrak kecil sekalipun, mereka tetap tidak menang kerana nama mereka dari awal lagi telah disisihkan,” katanya.

Wan Saiful juga mendakwa kontraktor yang rapat dengan kerajaan terdahulu masih membolot pelbagai kontrak seperti mengusahakan kantin dan keselamatan sekolah, pembinaan, pembaikan jalan dan infrastruktur.

Dalam perhimpunan agung tahunan PPBM Disember lalu, Naib Presiden PPBM Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan agar ketua bahagian dan ketua cawangan PPBM diberikan projek kerajaan.

Katanya, ketua-ketua itu perlu memperoleh lebih wang dan peluang bagi membolehkan mereka mempertahankan kemenangan parti dan PH pada pilihan raya akan datang.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat kritikan termasuk Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memberi amaran kepada ahli yang meminta jawatan dan kontrak kerajaan sehingga timbul desas desus untuk menyingkirkannya.

Pengerusi PPBM, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, kenyataan Abdul Rashid itu adalah pandangan peribadi dan sama sekali tidak mewakili parti tersebut.



Comments
Loading...