Armada Perak bantah perarakan LGBT


(Utusan) – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Perak menggesa tindakan tegas diambil terhadap penganjur perhimpunan Women’s March kerana membenarkan penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menyertai himpunan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh berkata, tindakan itu juga sejajar dengan ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa amalan LGBT sama sekali tidak diterima di negara ini.

Justeru itu katanya, pihak berkuasa perlu bertindak tegas dan memantau aktiviti golongan itu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.

“Himpunan sebegini tidak wajar diadakan dan diharapkan pihak berkuasa memantau agar ia tidak berulang di masa akan datang kerana jelas tidak menghormati perasaan umat Islam di negara ini.

“Semua pihak perlu akur dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan mempunyai martabat tertinggi serta istimewa dalam susuk negara ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Dalam satu himpunan dan perarakan
Women’s March yang diadakan semalam, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti `Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.

Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut kelmarin, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut.-

 



Comments
Loading...