54% tidak setuju Mahathir jadi PM satu penggal
(Utusan) – Hampir 54 peratus daripada 2,614 responden tidak bersetuju Tun Dr. Mahathir Mohamad menghabiskan tempoh sepenggal atau lima tahun sebagai Perdana Menteri.
Sebaliknya, kajian yang dibuat agensi perundingan, Ilham Centre bersama Penang Institute mendapati 51.9 peratus responden bersetuju Dr. Mahathir menyerahkan teraju kerajaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dirancang.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr. Mohd. Yusri Ibrahim memberitahu, kajian itu dijalankan menggunakan kaedah soal jawab bersemuka di antara 24 Oktober sehingga 24 Disember tahun lalu.
“Kajian ini melibatkan responden di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang mewakili semua jantina, kumpulan umur serta tahap sosioekonomi.
“Melalui kajian tersebut, secara umumnya responden juga tidak berpuas hati dengan pelbagai isu melibatkan prestasi kerajaan,” katanya menerusi hasil dapatan kajian yang dimuat naik ke dalam akaun Facebook Ilham Centre semalam.
Selain itu, Mohd. Yusri memberitahu, hasil kajian juga mendapati hampir 60 peratus masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) setelah gabungan parti itu menjadi kerajaan.
“Kebanyakan responden tidak percaya PH serius melaksanakan agenda Melayu termasuk mempertahankan hak-hak Melayu serta Islam sebagai agama rasmi.
“Mereka menzahirkan kebimbangan sama ada PH boleh atau tidak mempertahankan hak serta keistimewaan orang Melayu serta kesucian agama Islam.
“Ini mungkin disebabkan naratif Islam yang dibawa PH sukar difahami orang Melayu kerana falsafahnya terlalu mendalam,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, kajian juga mendapati hampir separuh responden berpendapat PH mampu bertahan lebih daripada satu penggal untuk mentadbir negara.