Wan Saiful serang Zahid untuk menutup kegagalan beliau menunaikan janji Pakaytan kepada peminjam PTPTN


Wan Saiful Wan Jan, Ahli MT Pribumi yang memohon maaf kerana kemunafikan pemimpin Pakatan Harapan memungkiri janji pilihanraya kepada peminjam PTPTN telah menyerang Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan tuduhan Dato Seri Zahid mahu menjadi tuhan.

Serangan ini berikutan pertanyaan Dato Seri Zahid terhadap Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Pakatan Harapan, “Agama apakah beliau?”.  Untuk makluman Wan Saiful, saya berada diatas pentas yang sama ketika Presiden berucap dihadapan Ahli-Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian-bahagian seluruh Wilayah Persekutuan.  Soalan itu dibangkitkan Dato Seri Zahid kerana beliau dan umat Islam lain hairan dengan kesungguhan Saifuddin untuk menunjukkan keliberalan beliau dengan beria-ia mahukan Malaysia meratifikasi ICERD yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Izinkan saya memberi sedikit kuliah sejarah kepada Wan Saiful, yang kelihatan seolah-olah beliau amat daif dalam memahami sejarah kemerdekaan negara ini.  Ketika British mahu memberikan kemerdekaan kepada Malaya pada tahun 1957, mereka telah meminta orang Melayu menerima orang Cina yang mereka gunakan untuk menjarah bijih timah kita sebagai warganegara, British juga meminta orang Melayu menerima orang India yang mereka guna untuk menjarah hasil getah kita sebagai warganegara.  Sebagai timbal balas, orang Cina dan India bersetuju untuk memberikan sedikit kelebihan kepada orang Melayu, bangsa pribumi atas pengobanan yang mereka buat menerima orang Cina dan India yang lahir di Tanah Melayu sebagai warganegara. Apakah kelebihan itu?

1. Islam diangkat sebagai agama Persekutuan.
2. Hak Istimewa Orang Melayu.
3. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
4. Kedudukan YDP Agong dan Raja-Raja Melayu.

Pada ketika itu, orang Melayu boleh memilih untuk menolak syarat British dan orang Cina dan India juga boleh memilih untuk bersetuju dengan 4 kelebihan yang diberikan kepada orang Melayu itu atau memilih untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.  Boleh saya simpulkan disini, masyarakat majmuk yang berada dalam Malaysia hari ini adalah waris kepada nenek moyang mereka yang telah bersetuju dengan kontrak sosial ini.

Persoalan kini, kenapa hari ini ada orang Melayu yang beragama Islam sendiri tergamak untuk merampas hak pribumi negara ini demi meraih populariti dikalangan masyarakat bukan Melayu.  Maka apa yang dipersoalkan oleh Dato Seri Zahid sangat tepat,  kerana manusia yang tergamak mengadai Islam dan hak bangsanya demi meraih undi sangat sukar ditemui. Tidak perlulah Wan Saiful membuat kenyataan bodoh bahawa persoalan yang dibangkitkan oleh Dato Seri Zahid itu bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari kes Mahkamah yang beliau hadapi.

Untuk makluman Wan Saiful, ini Presiden UMNO, bukan penakut macam Presiden Bersatu!  Presiden UMNO pernah ditahan tanpa bicara dibawah ISA.  Beliau sudah biasa menentang kerajaan sejak menuntut di Universiti Malaya.  Kalau takat 45 pertuduhan yang kertas siasatanpun belum ada dan pihak SPRM pun sebut, kita dakwa dulu, siasat kemudian, kamu fikir dia ambil kisah ke kes tersebut? Kurang-kurang 4-5 tahun baru kes itu akan selesai, tengok sahaja bagaimana Dato Seri Anwar menangguh kesnya sebanyak 66 kali.  Mungkin ketika pembicaraan selesai, kami sudah memerintah semula akibat manusia munafik macam kamu merangka manifesto yang menipu dan mengecewakan rakyat.  Adakah kamu fikir kami tidak boleh mendapatkan khidmat Tommy Thomas untuk menasihati kami cara menggugurkan kes penyokong BN sepertimana beliau menggugurkan kes penyokong Pakatan Harapan?

Wan Saiful juga patut menilai pemimpin partinya terlebih dahulu sebelum menuduh Dato Seri Zahid sebagai seorang yang tidak berpegang kepada Islam kerana gagal cegah kemungkaran ketika dikelilingi oleh perasuah berbilion-bilion.  Siapa sebenarnya yang sentiasa dikelilingi billionaire ya?Bukankah Pengerusi kamu merupakan antara individu yang sentiasa dikelilingi Tokey-tokey Cina dan India?  Bukankah Pengerusi kamu, Tun Mahathir yang sentiasa di kelilingi oleh billionaire seperti Tan Sri Arumugam, Tan Sri Lee Kim Yew, Tan Sri Vincent Tan, Tan Sri Ananda Krishnan, Tan Sri Francis Yeoh, Tan Sri Ting Pek Khiing dan lain-lain lagi.  Ada ke kamu mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh Pengerusi kamu ketika beliau bersuka-ria membedak khazanah negara diatas kapal mewah bersama bilionaire-bilionaire tersebut atau ketika beliau menunggang kuda di “ranch” milik Arumugam di Australia? Atau ketika beliau meraikan ulangtahunnya di hotel mewah yang dibiayai oleh tokey judi Tan Sri Vincent Tan? Tidak ada pun saya dengar kamu bersuara bila Vincent Tan dianugerah lesen judi sukan sebaik sahaja Pakatan Harapan memerintah?

Maka sebelum menyuruh Dato Sri Zahid bertaubat, ada baiknya kamu suruh Pengerusi kamu yang berusia 93 tahun itu bertaubat dulu.  Kurang-kurang, kami tahu bahawa 45 tuduhan yang Dato Seri Zahid hadapi berhubung kait dengan sumbangan yang Yayasan Akal Budi terima iaitu sebuah yayasan yang telah membina lebih 50 buah masjid serata dunia, telah membina lebih 150 biji surau, 50 biji pusat tahfiz dan pelbagai kerja kebajikan lain.  Malah Dato Seri Zahid juga telah melafazkan sumpah dengan kalimah Wallahi, Wabillahi, Wattallahi bahawa semua sumbangan yang beliau terima sepertimana dituduh didalam 45 pertuduhan itu adalah bagi tujuan kebajikan yang saya sebutkan tadi dan tiada satu senpun digunakan untuk tujuan peribadi.  Agak-agak berani ke Mahathir bersumpah bahawa sumbangan yang beliau terima tiada satu sen pun untuk tujuan peribadi?

Adalah tidak bijak juga jika kamu menuduh bahawa jika berlaku pertelagahan kaum dan agama, ia hanya akan menguntungkan Dato Seri Zahid.  Sejak dari awal rancangan untuk menghimpunkan Ummah pada 8/12/2018 ini, ianya merupakan perhimpunan aman.  Tiada sebarang kekecohan berlaku apatahlagi rusuhan ketika 50,000 penyokong UMNO dan PAS berhimpun di Pasir Salak baru-baru ini dan In Sya Allah perkara yang sama akan berlaku di Kuala Lumpur.  Apa yang pasti, jika berlaku sebarang provokasi, ianya pasti merupakan rancangan licik Mahathir.  Hanya Mahathir akan memperolehi keuntungan jika rusuhan kaum berlaku dalam negara ini.  Kerana dengan rusuhan itu, beliau boleh mengistihar darurat dan terus berkuasa tanpa perlu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.

Dato’ Lokman Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

 



Comments
Loading...