Kita ditipu oleh Jho Low, maksud saya ialah…


(Sinar Harian) – Najib berkata, adalah sangat mudah untuk mendapat persepsi yang salah apabila kita hanya membaca tajuk sahaja.

Berita bertajuk Jho Low menipu saya atau Kita telah ditipu oleh Jho Low yang dipetik daripada wawancara eksklusif Sinar Harian bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menimbulkan pelbagai persepsi dikalangan pembaca.

Tidak mahu berdiam diri dan membiarkan rakyat terus salah faham tentang perkara itu, Najib tampil menjelaskan apa sebenarnya disebalik laporan berita berkenaan di akaun Facebooknya.

Najib berkata, adalah sangat mudah untuk mendapat persepsi yang salah apabila kita hanya membaca tajuk sahaja.

“Sebab itu betapa pentingnya untuk kita tonton keseluruhan temubual bagi memahami konteks jawapan saya dan bukan hanya tertumpu kepada satu bahagian sahaja sehingga hilang konteks keseluruhan jawapan.

“Untuk itu, saya ingin menjelaskan lebih lanjut mengenai salah satu tajuk mengenai temubual saya dengan Sinar Harian (secara live di Facebook) hari ini yang menggunakan tajuk ‘Jho Low menipu saya’ atau ‘Kita telah ditipu oleh Jho Low’,” katanya.

Najib berkata, tajuk itu timbul selepas moderator, wawancara eksklusif tersebut, Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali bertanya “Adakah dengan ini kita mengakui kita telah ditipu oleh jutawan Jho Low ini?.

“Ini adalah soalan lanjutan daripada soalan mengena 1MDB. Berikut adalah jawapan saya: Ya, kalau begitu, memang kita (sudah ditipu), itulah kesimpulan kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini, itu sebenarnya.”

“Maksud saya ialah jika apa yang dinyatakan hari ini adalah satu kebenaran iaitu perkembangan-perkembangan baru yang kini meluas seperti pegawai tinggi Goldman Sachs didakwa oleh DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) dan kerajaan Abu Dhabi menyaman Goldman Sachs maka jelas Jho Low telah menipu,” katanya.

Najib memberitahu, perlu diingat bahawa 1MDB tidak pernah berurusan secara terus dengan Jho Low dan setiap perjanjian dan pembayaran wang 1MDB ialah kepada JV urusniaga seperti PetroSaudi dan Aabar yang dimiliki oleh kerabat diraja ataupun kerajaan negara-negara masing-masing.

“Jho Low juga tidak pernah bekerja untuk ataupun mewakili 1MDB. Sebaliknya, beliau mewakili pihak Arab kerana dari dulu lagi, beliau rapat dengan mereka.”

“Itu yang saya jelaskan di wawancara dengan Sinar Harian,” katanya.

Najib menambah, isu 1MDB memang kompleks tetapi mereka yang mengkaji ataupun berpengetahuan dengan lebih mendalam pasti faham bahawa setiap aliran wang dari 1MDB yang didakwa hilang ialah selepas wang itu dipindahkan kepada ataupun dijamin oleh pihak Aabar dan pemiliknya, International Petroleum Investment Company  (IPIC).

Wawancara bersama Najib dikendalikan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian pagi tadi. Sinar Harian menjadi media tempatan pertama mengendalikan wawancara eksklusif bersama Najib selepas beliau yang menerajui BN tewas dalam PRU14.



Comments
Loading...