DAP akan saman Gagasan Tiga


(FMT) – Sehari selepas ditubuhkan secara rasmi, satu gabungan NGO dituntut membuat permohonan maaf terhadap DAP kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap parti itu, baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tindakan undang-undang akan dibuat terhadap Gagasan 3 (G3) jika mereka enggan menarik balik semua tuduhan kerana beranggapan ia mampu mencetuskan sentimen perkauman dan kebencian dalam kalangan rakyat.

“Dia (G3) sebut antaranya, ada satu program Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), sebanyak 200 juta diberikan kepada pelajar anak Melayu tapi diarahkan saya untuk beri kepada tokong-tokong Cina. Itu satu fitnah jahat kerana tiada langsung pun seperti itu.

“Termasuk ada sami-sami setiap hari ke pejabat jumpa saya, itu pun sama. Saya harap mereka dapat tunjuk bukti. Isu itu viral dan ramai peguam-peguam mesej cakap mereka terima viral itu dan rasa ia sangat bahaya kerana ingin membakar sentimen perkauman dan kebencian,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Lim turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan G3 yang menuduh DAP adalah pencetus kepada idea untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dipertikai banyak pihak ketika ini.

Lim berkata tuduhan G3 itu dibuat semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu rasuah membabitkan beberapa bekas pemimpin ketika ini.

“(Jadi) Mereka cuba alih perhatian kepada isu-isu perkauman dan kebencian ke atas rakyat Malaysia.

“(Dan) pada masa sama, kita akan buat laporan polis. Saya harap polis boleh ambil tindakan terhadap mereka yang sungguh tidak bertanggungjawab ini kerana cuba bangkitkan sentimen tersebut,” katanya.

G3 ditubuhkan secara rasmi semalam dan seterusnya “mengisytiharkan perang” terhadap DAP yang disifatkan sebagai musuh kepada Islam dan orang Melayu di negara ini.

Pengerusi G3, Raggie Jessy mendakwa ICERD adalah agenda tersembunyi yang dibuat DAP bagi menghapuskan hak istimewa orang Melayu, Islam di negara ini.

“Orang Melayu terlepas pandang, isu ICERD yang dibawa oleh Lim Guan Eng dan Lim Kt Siang ini. Kit Siang dia bapa perkauman di negara ini. Bawa agenda ala-ala Zionis di negara ini,” Raggie dipetik sebagai berkata.

https://www.youtube.com/watch?v=WPojQjdtlXE

 



Comments
Loading...