Timbalan Ketua Wanita Gerakan yang baharu itu berkata, beliau amat jelas dengan sokongannya yang sealiran dengan parti.

Namun, katanya, masalah utama kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada waktu ini adalah tidak memberi penjelasan dengan mendalam mengenai ICERD kepada rakyat.

Katanya, kerajaan PH perlu mendidik rakyat bagi setiap dasar yang ingin dilaksanakan.

“Saya menyokong dengan syarat ia mengikut Perlembagaan Persekutuan. Saya setuju dengan orang yang tahu dan jelas mengenai ICERD.

“Pada waktu ini, kerajaan perlu mendidik rakyat mengenainya (ICERD). Masa Himpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) diadakan suatu masa dahulu, saya turut menyertainya. Apabila saya bertanya mereka (penyokong), mengapa sokong Bersih, mereka tidak tahu. Begitu juga pandangan kebanyakan rakyat terhadap pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya ketika ditemui pemberita di Menara PGRM di sini hari ini.