Terengganu, Kelantan layak terima hak yang sama


(Sinar Harian) – Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan Terengganu dan Kelantan layak menerima hak yang sama dalam agihan pembayaran royalti minyak.

Justeru, beliau meminta veteran DAP, Lim Kit Siang merujuk kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkenaan kedudukan pembayaran royalti minyak.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau ekoran ‘bunga diskriminasi’ oleh pimpinan utama DAP, sebagaimana yang ditegur oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan isu pembayaran royalti kepada dua negeri itu.

“Ulasan saya, Lim Kit Siang boleh merujuk kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkenaan kedudukan pembayaran royalti kepada negeri yang layak menerimanya seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 7 Jun lalu.

“Diharap apa yang sedang berlaku bukanlah satu cubaan oleh mana-mana pihak yang berkuasa untuk mencanggahi komitmen yang terang dan nyata oleh Perdana Menteri untuk terus mengukuhkan semangat federalisme sebagaimana yang dibentangkan oleh beliau dalam Kajian Separuh Penggal RMK-11 di Parlimen pada hari Khamis 19 Oktober lepas,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi dakwa royalti Kelantan, Terengganu terhalang]

Semalam, Abdul Hadi dalam status Facebooknya mendakwa pembayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu terhalang meskipun ia dijanjikan dalam Manifesto PH sebelum ini.

Dalam status itu, beliau turut menggesa veteran DAP, Lim Kit Siang mengajukan perkara tersebut kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng jika beliau mahukan bukti.

Abdul Hadi membuat kenyataan sedemikian bagi membalas kenyataan Kit Siang yang mendakwa pemimpin Pas itu memalukan politik Islam kerana mengatakan DAP mendiskriminasikan pembangunan saksama di Pantai Timur.

 



Comments
Loading...