‘Harga 115 barangan naik sehingga 41% selepas SST’


(FMT) – Sebanyak 27% atau 115 daripada 417 barangan mengalami kenaikan harga antara 0.09% hingga 41.65%, selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, 70% atau 291 barangan mencatat penurunan antara 0.11 hingga 37.61%, manakala baki harga 11 barangan tidak berubah berdasarkan perbandingan harga antara Mei hingga September lalu.

Katanya, 417 barangan itu merangkumi 6 kategori, iaitu 136 barangan segar, barangan kering (25), barangan berbungkus, tin, pek dan botol (159), minuman (25), makanan dan barangan bayi (49) serta barangan kebersihan (23).

Chong berkata, memandangkan SST dikenakan di peringkat pengeluar, impak cukai jualan ke atas harga barangan keperluan belum ketara pada awal pelaksanaan.

“Kementerian menjangkakan harga barangan akan menunjukkan perubahan lebih ketara apabila stok yang dikeluarkan mulai September berada di pasaran.

“Kementerian akan terus memantau pergerakan harga barangan keperluan pengguna di pasaran bagi memastikan harga yang dikenakan adalah berpatutan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) yang meminta penjelasan harga barangan masih tinggi dan tidak turun, walaupun sistem percukaian negara kembali kepada SST.

 



Comments
Loading...